Balqis termenung. Otaknya kosong. Skrin komputer di hadapannya direnung lama-lama. Data-data kawalan kualiti yang tersusun dalam rajah dan jadual yang terpampang di Microsoft Excel baru separuh disiapkan. Hari Jumaat sepatutnya digunakan semaksimum yang mungkin kerana ianya hari bekerja terakhir dalam seminggu. Namun hakikatnya tidak.
Dia yang baru memulakan tugas sebagai ahli kimia di bahagian kawalan kualiti sebuah syarikat farmaseutikal terkemuka mengakui, tugas ini bukan tugas yang mudah. Dahinya berkerut, sakit kepalanya mula bertandang.
Teringat pula Balqis akan panggilan telefon umminya kelmarin. Membawa perkhabaran khitbah oleh seorang ustaz muda, anak bujang seorang kenalan abah. Kini dia tahu, inilah punca otaknya menerawang sepanjang hari. Dahinya bertambah kerut.