Saya yakin ramai di antara kita mempunyai paling kurang satu akaun di laman web sosial. Sekurang-kurang Facebook ataupun Twitter. Pada awal kemunculan laman-laman web sosial, saya juga tak mampu menangkis tempiasnya. Sampai 2-3 akaun. Satu di Friendster, satu di Hi-5, satu di Tagged. Tetapi sejak kemunculan FB, saya jarang bertumpu kepada yang tiga itu. Perhatian lebih banyak pada FB.
Fikir saya, social network sebelum ini yang tidak mencapai tahap 'evolusi' terlampau seperti FB, agak santai dan tidak menyebabkan kemaruk untuk tercongok di hadapan komputer sehingga berjam-jam lamanya.
Berhantukah?
Agak-agak saya begitulah. Bukan setakat berhantu, malah boleh menyebabkan suami isteri bercerai-berai, sahabat-handai putus silaturrahim, malah sebuah kerajaan yang telah berdiri beratus tahun lamanya boleh hancur!
Memang tidak dinafikan, saya agak teruja pada mulanya. Kerana 'hantu' inilah saya dapat berhubung kembali dengan rakan-rakan sekolah rendah dahulu. Dan kerana 'hantu' inilah saya dapat tahu, ramai yang sudah 'berdua' dan ada juga sudah 'bertiga' dan ber ber yang seterusnya. 'Hantu' yang hebat, tetapi tetap menakutkan.