Hati saya berasa sungguh girang kerana berjaya menghabiskan novel 'Denyut Kasih Medik' yang saya beli di sebuah karnival yang berlangsung di kampus beberapa minggu yang lalu. Masa yang agak lama diperuntukkan untuk menghabiskan pembacaan lantaran kesibukan di semester akhir - tesis dan segala macam hal. Namun, Alhamdulillah, pada malam ini saya sudah pun berjaya menghabiskannya.
Jika jawatan Menteri Kesihatan Malaysia itu terletak pada tangan saya, novel ini saya akan wajibkan sebagai bahan bacaan wajib setiap pelajar perubatan dan doktor yang beragama Islam. Bukan apa, supaya doktor-doktor Muslim ini lebih memahami dan prihatin dengan soal ibadah pesakit; yang kadangkalanya diremehkan oleh pesakit. Antara tahu atau tidak tahu. Atau buat-buat tidak tahu.
Sekurang-kurang, golongan ini boleh memberi rawatan 'spiritual' selain daripada rawatan fizikal. Perubatan bukan sahaja pada kesakitan jasmani, rohani juga perlu dirawat.
Terlalu banyak maslahah berkaitan ibadah yang selalu dipandang ringan oleh pesakit ketika berada di hospital. Bukan sahaja di hospital, malah di mana-mana sahaja - ketika kita diuji dengan penyakit.
