Khamis, 20 Januari 2011

Kepada: Adam. Daripada: Hawa

Assalamualaikum pembuka madah kata, penguat hati untuk berbicara. Setelah kata-kata di dunia nyata tidak mampu ku jadikan medium, hanya tinta hitam dan putih menjadi medan meluahkan rasa.


Adam,

            Aku yang bergelar Hawa, dijadikan oleh Yang Maha Kuasa mempunyai hati dan perasaan kuat untuk dikasihi dan dicintai oleh mu sang Adam. Tetapi tahukah Adam, semakin kuat perasaan ini, semakin hebat jugalah iblis dan syaitan menganyam dan menyuntik angan-angan palsu, yang dirasakan cukup indah dan membelai jiwa. Maafkan aku jika tindakan ku menghilangkan diri ini mengundang rasa kurang senang dihatimu. Ku ingin kau tahu, perasaan ini hadir tanpa diduga. Walaupun ketika awalnya minda keras menafikan, tetapi akhirnya, hati tidak mampu menidakkan.


Adam,

            Sekali-kali aku tidak pernah menyalahkan Allah yang Maha Kuasa yang mengurniakan perasaan halus ini. Fitrah. Ini fitrah, Adam. Fitrah Allah jadikan seorang manusia lelaki cenderung kepada seorang manusia perempuan. Dan seorang manusia perempuan cenderung kepada seorang manusia lelaki. Tiada yang mampu mengubah norma ini, melainkan dirimu abnormal, menyukai manusia sejenis denganmu. Tetapi aku tidak mahu yang fitrah itu menjadi fitnah.

Adam,

            Ketahuilah bahawa, sepanjang perkenalan aku denganmu Adam, aku dapat merasakan dunia ini seperti diciptakan hanya untuk aku dan untukmu. Tiada orang lain. Indahnya seperti di alam syurga, meskipun syurga itu lebih jauh jangkauannya, dan hanya berbekalkan amalan yang bersisa cuma, mampukah kita hanya untuk mencium wangiannya dari jauh. Ditambah dengan dosa dan kelalaian kita setiap hari, mampukah kita Adam?

Adam,
           
            Saat aku mulai hanyut dibawa arus kasih sayang tanpa penghujung ini, aku terasa seperti dihempap batu yang amat besar. Tepat mengenai ubun-ubun, tempat duduknya akal, kurniaan Ilahi yang Maha Agung untuk manusia seperti kau dan aku berfikir. Aku terduduk menangis. Menangis Adam, aku menangis. Bukan kerana disakiti oleh batu besar, tetapi jiwa yang semakin sakit. Parah. Aku bukan hak mu yang halal, Adam. Dan Adam juga bukan milikku yang halal. Maka, perhubungan yang dibina atas dasar apa? Nafsu? Atau hanya kerana melihat sahabat-sahabat di sekeliling yang sudah berpasang-pasangan? Perasaan yang tidak terbimbing hanya menyebabkan kita tersasar dari landasan-Nya Adam. Aku harap Adam mengerti.

Adam,

            Mungkin terdetik di hatimu, kita tidak pernah berjumpa, malah hanya berjumpa di alam maya setiap hari, mahupun sistem pesanan ringkas. Dosa berdating, berpegang tangan, bertentang mata, kita dapat elakkan. Bukankah ini sudah cukup menjaga batas pergaulan wahai Hawa? Adam…Adam…nampaknya pemikiran mu masih cetek. Ingat Adam, kita tidak akan sekali-kali dapat mengelakkan diri daripada zina hati. Zina hati, Adam. Di saat aku merindukan dirimu, dan di ketika Adam merindukan aku, di situlah ruang iblis dan syaitan membisikkan bayangan-bayangan liar, yang tidak sepatutnya hadir untuk insan yang belum mempunyai ikatan yang sah. Seperti kita.

Adam,

            Aku masih di bawah tanggungjawab kedua orang tuaku, Adam. Tiada anak yang sanggup menambah dosa di bahu bapanya. Begitu juga aku, Adam. Aku tidak mahu bapaku menanggung dosaku ini. Jika kau sudah cukup bersedia untuk mengambil tanggungjawab itu daripada bapaku, silakan. Gunakanlah saluran yang ada, cantik di sisi syariat. Jika engkau belum bersedia, tuntunlah hatimu supaya bersabar.

Adam,

            Berusahalah, carilah pemilik tulang rusukmu yang hilang itu. Meskipun bukan aku. Doakanlah kesejahteraan masing-masing, andai jodoh tiada. Sesungguhnya Allah itu Maha Adil. Jika ternyata tulang itu ada padaku, maka suatu hari nanti, tepat masa dan ketika, akan bertemu jua dengan izin Tuhan yang Maha Kaya. Aku tidak sanggup terus-terusan begini. Hati direnggut cinta hamba melebihi cinta Sang Pencipta yang agung.

Adam,

            Jagalah imanmu, jagalah pertuturanmu, jagalah adab dan sopanmu, jagalah solat tiang agamamu, jagalah pergaulanmu, jagalah maruahmu sebagai bakal imam untuk bakal isterimu kelak. Dan yang paling utama, jagalah hubunganmu dengan yang Maha Pencipta serta kedua orang tuamu. Jaga dirimu baik-baik, persiapkanlah dirimu untuk menjadi suami yang terbaik untuk isterimu dan bapa yang terbaik untuk anak-anakmu. Kunyatakan ini jauh, dalam, jujur dari hati. Moga berhasil sampai di hatimu. Apabila dua hati bertemu kerana Allah, itulah kebahagiaan sebenar, Adam. Tiada yang lebih manis daripada hidup di bawah lembayung rahmat dan kasih sayang-Nya setiap masa. Percaya pada janji Tuhan, wanita yang baik hanya untuk lelaki yang baik, dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Pegang kata-kataku ini Adam, walau terpisah jutaan batu, jika sudah tercatat pada takdir yang aku dan engkau hidup bersama, Allah akan menemukan jua, biarpun kita tidak mencari. Sesungguhnya, Allah itu lebih mengetahui akan hamba-Nya.



P/s: lama dah tulis ni. Pernah dipost dalam notes FB saya.

P/s/s: takde maksud tersirat ok. :)




0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...