Beberapa hari lalu, saya dan keluarga sempat menziarahi pak long yang sedang sakit di HUSM. Tibanya waktu melawat, kami melangkah masuk. Suasana wad surgeri lelaki itu dipenuhi dengan pelawat. Penuh dan sesak dengan manusia.
Saya bersalaman dengan mak long yang ada menemani pak long ketika itu. Mama bersalaman dan mencium kedua-dua belah pipi mak long. Tanda semangat, katanya. Pada mulanya, hanya kami sekeluarga. Namun lama kelamaan, katil pak long dipenuhi dengan pelawat.
Pak long orang yang disegani di kampungnya. Pak imamlah katakan. Tidak hairanlah jika ramai jiran dan orang-orang kampung yang datang melawat. Sehingga pelawat di katil-katil lain memandang ke arah kami, kerana terlalu ramai yang mengerumuni katil pak long.
Saya memerhati keadaan sekeliling. Ada pesakit yang langsung tiada pelawat. Ada yang hanya seorang. Dan ada yang 2-3 orang.
Kedengaran suara pakcik yang berada bersebelahan dengan katil pak long mengerang. Sakit barangkali. Perutnya membusung. Besar. Tidak padan dengan tubuhnya yang kurus. Kelihatan seorang wanita di sebelahnya. Pasti isterinya, teka saya. Saya agak terkejut dengan kelakuan pakcik tersebut yang boleh dikatakan kurang rasa sabarnya.
Suaranya seakan menengking isterinya. Disuruhnya melakukan sesuatu (pakcik tersebut meminta isterinya menyapu ubat di belakang badannya) tetapi tidak cukup memuaskan hatinya. Makcik itu hanya menunduk dan menurut perintah suaminya.
Kasihan makcik. Walaupun suaranya tidaklah terlalu kuat, tetapi pelawat yang berada di selang 2 katil masih boleh mendengar suara pakcik tersebut. Semoga pakcik cepat sembuh, doa saya dalam hati.
Saya mencongak-congak sendiri di dalam hati. Manusia yang tidak tahan dengan ujian hidup memang boleh berkelakuan sedemikian. Bagaimana agaknya jika saya yang berada di tempat pakcik tersebut. MasyaAllah. Saya tak dapat bayangkan betapa peritnya rasa sakit itu.
Dan kerana demikianlah, Allah menjadikan kesakitan itu sebagai penghapus dosa. Ujian yang diberikan oleh-Nya adalah tanda bahawa Dia masih sayangkan kita. Apabila kita ditimpa ujian dalam bentuk penyakit, maka berguguranlah dosa-dosa kecil. Oleh itu, jangan mengeluh jika ditimpa kesakitan.
0 Komen:
Catat Ulasan