Ahad, 6 Februari 2011

Si Pemungut Sampah Berhati Emas

Li Yukun sedang mengasingkan sampah yang dikutip

Mengisahkan seorang wanita China, Li Yukun berusia 64 tahun. Untuk pengetahuan anda, umur persaraan di republik itu ialah 50 tahun. Bermakna, wanita ini sudah lama melepasi umur persaraannya.

Tetapi yang menghairankan, beliau beriya-iya meminta pihak majikannya supaya menyambung kembali kontrak pekerjaan beliau iaitu sebagai pekerja pembersihan dan pemungut sampah. Ketika ditanya, mengapa ingin bekerja, sedangkan beliau sudah begitu tua dan barangkali kudratnya pasti terhad untuk melakukan kerja dengan lancar. Beliau menjawab,
"Saya masih mempunyai lebih daripada 10 orang pelajar untuk dibantu."
Sejak tahun 1998 lagi, Li Yukun telah membantu 15 orang pelajar dari keluarga miskin. Beliau juga telah menderma sebanyak 100,000 yuan atau RM 46,439 kepada mangsa gempa bumi di Wenchuan dan badan-badan kebajikan yang lain pada tahun 2008.

Kang Yujing

Salah seorang penerima dana sumbangannya, Kang Yujing telah menerima 1000 yuan setiap tahun daripada nenek berhati mulia ini sejak 4 tahun yang lalu. Setelah mengetahui 'malaikat' yang bermurah hati menolong pelajar tahun 4 Qufu Normal University ini, Kang Yujing berhasrat untuk melawat Li Yukun. Sangkanya selama ini, Li Yukun ialah 'Pakcik Li yang kaya-raya'.

Tetapi lain pula ceritanya apabila dia bertemu dengan Li Yukun ketika itu sedang menyapu sampah di kaki lima Wendeng Street. Dia terus memeluk dan menangis di bahu Li Yukun. Sungguh dia tidak menyangka bahawa wang pembiayaan universitinya datang dari kerja keras yang amat mengharukan.

Li Yukun hanya tinggal di sebuah rumah yang mempunyai televisyen yang diderma, dan itulah satu-satunya peralatan yang ada di dalam rumah tersebut.

Biro Pembangunan Wendeng juga ada memberikan wang sebanyak 50,000 yuan (RM 23,220) sebagai wang sara diri, tetapi kesemua wang tersebut telah didermakan kepada badan kebajikan. Li Yukun juga telah mendaftarkan diri untuk mendermakan organnya selepas meninggal dunia.

Artikel ini asalnya berbahasa Inggeris, saya ambil di laman ini - Garbage collector with heart of gold

Lalu saya terfikir - anda dan saya yang masih menuntut di IPT. Kebanyakkan daripada kita menerima wang pinjaman mahupun biasiswa. Ada yang menerima sehingga RM 8,000 untuk satu semester.

Kemanakah mengalirnya wang sebanyak itu setiap semester? Membeli buku? Enjoy? Bertukar-tukar handphone setiap 3 bulan? Shopping? Bayar downpayment motor @ kereta?

Sungguh, kadang-kadang kita lalai. Apabila duit sudah berkepuk-kepuk berada di dalam bank, kita memang tidak akan merasa kesusahan untuk memperolehi wang. Seolah-olah percuma. Walhal, kita tidak tahu. Dari mana datangnya sumber duit tersebut.

Duit itu datangnya dari si pembayar-pembayar cukai. Pernah kita tahu bagaimana mereka bekerja? Gembirakah? Marahkah? Sedihkah? Atau ditindas oleh majikan setiap hari. Lagi teruk kalau kena gangguan seksual. Dan duit mereka mengalir sebagai cukai setiap bulan. Dan seterusnya sampai pada kita untuk dibelanjakan.

Ah, pedulikan orang lain. Kita bayangkan sahaja si pembayar cukai itu ibu bapa kita. Sanggupkah kita menggunakan wang tersebut sesuka hati? Ibu bapa memang tidak akan sekali-kali menceritakan masalah ditempat kerja. Malah, bercerita tentang keadaan kewangan keluarga pun mereka tidak mahu.

Duit itu suatu amanah. Gunakanlah wang tersebut dengan sebaik mungkin. Walaupun mereka tidak mengetahui siapa pengguna wang cukai mereka, tetapi jika kita berada di tempat mereka, apa yang kita harapkan? Pastinya sama sahaja. Jangan terlalu pentingkan diri sendiri, dan jangan letakkan diri di dalam golongan yang kufur nikmat. Na'uzubillahiminzalik.

Semoga Allah membuka pintu hati kita semua. InsyaAllah.


P/s: Peringatan untuk diri sendiri dan anda juga. Semoga bermanfaat. :)


0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...