Sabtu, 12 Februari 2011

Berdakwahlah, Walaupun Hanya Dengan Tulisan

Pagi Sabtu yang hening dan nyaman ini belum cukup untuk menggugah iman diri ini untuk menyelinap kembali ke dalam selimut seusai solat Subuh. Walaupun hanya melelapkan mata kira-kira pukul 3 pagi tadi, mata saya cukup degil. Agaknya saya mewarisi perangai ibu saya, tidak boleh tidur pagi.

Saya kini dalam proses menghabiskan novel yang baru dibeli beberapa hari lepas - Denyut Kasih Medik tulisan seorang doktor perubatan Muslim yang cukup tinggi ketegasannya dalam menegakkan syariat Islam di hospital, Dr.Farhan Hadi yang juga teman hidup kepada penulis terkenal, Fatimah Syarha.

Akhirnya, buku yang termasuk dalam wishlist saya pada tahun ini sudah tertunai, walaupun baru sebuah.

Ketika saya sedang berjalan keluar makan malam bersama rakan-rakan di Plaza Ivory semalam, fikiran saya bercelaru. Terlalu banyak yang bermain di fikiran. Memikirkan diri yang mempunyai kelemahan terbesar yang sering saya kesali - sukar dan lemah ketika berhadapan untuk menasihati orang-orang tersayang yang melakukan maksiat.


Dakwah? Ya, saya pasti kebanyakkan orang yang mendengar perkataan 'keramat' ini mempunyai persepsi yang berbeza-beza.

"Kerja-kerja dakwah ni untuk orang tinggi ilmu agama je. Macam ustaz-ustaz tu..."

"Aku ni tak sekolah agama pun. Mana layak nak nasihat-nasihat orang ni."

"Kalau aku keluarkan fatwa yang salah nanti, aku jugak yang tanggung dosa. Baik aku diamkan diri."


Saya sendiri mengakui, ilmu agama tidaklah setebal mana. Cetek sekali. Walaupun suatu ketika dahulu bergelar pelajar sekolah agama, namun ia bukanlah tiket untuk saya menjatuhkan hukum dan memberi fatwa sesedap rasa. Diri ini juga tidaklah sebaik mana, banyak juga khilaf di sana-sini. Tidak terlepas dari melakukan dosa setiap hari. Kita bukan nabi, tidak maksum.

Dakwah itu bermaksud menyampaikan. Menyampaikan itu ada banyak cara, dan tidak terhad kepada sesiapa selagi bergelar seorang Muslim dan Muslimah. Bukankah seorang Muslim/Muslimah itu telah diangkat darjatnya oleh Allah sebagai khalifah di muka bumi?

Lantas, konsep yang difahami oleh kebanyakkan daripada kita di atas adalah langsung tidak betul.

Teringat saya akan sebuah hadis:


عَنْ أَبِي سَعِيْد الْخُدْرِي رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقُوْلُ : مَنْ رَأَى مِ نْكُمْ مُنْكَراً فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْيَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ اْلإِيْمَانِ – رواه مسلم
 Abu Sa’id Al-Khudri r.a. berkata: Saya mendengar Rasulullah (s.a.w) bersabda: "Barang siapa diantaramu melihat kemungkaran, hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya. Jika ia tak sanggup, maka dengan lidahnya. Dan jika tak sanggup juga, maka dengan hatinya, dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman." 
~ H.R. Muslim  (kredit kepada http://ajiprabowo.wordpress.com/)

Keinginan untuk mencegah kemungkaran itu sebenarnya membuak-buak dalam hati, malah cukup benci saya katakan, melihat rakan-rakan sendiri yang berpakaian mendedahkan aurat, bercouple sana-sini. Meletakkan gambar-gambar yang tanpa segan silu, dengan gaya yang cukup menggetarkan hati lelaki di Facebook dan blog. Tidak cukup dengan itu, keluar berhibur di malam-malam buta. Hati menjadi sakit mengenangkan semua itu. Dalam hati, saya tidak putus-putus melantunkan doa. Supaya dibuka pintu hati dan disuluhkan hidayah daripada Allah.

Tidak lupa juga berdoa untuk diri sendiri, agar diberikan kekuatan, setegas Dr.Muslih (watak utama dalam Denyut Kasih Medik) untuk memberi peringatan kepada orang-orang sekeliling. Lebih-lebih lagi insan terdekat.

Lalu, saya mengambil pendekatan untuk memberi peringatan melalui penulisan. Semoga rakan-rakan saya yang membaca tulisan saya ini, terkesan di hati mereka semua. Bahawa saya tidak mahu melihat mereka semua menjadi bahan bakar di dalam neraka kelak. Saya sangat menyayangi dan mencintai kalian semua. Nauzubillahiminzalik. Mohon dijauhkan.






0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...