Khamis, 24 Mac 2011

Harga Selautan Syukur

Surah Ar-Rahman adalah antara surah kegemaran saya. Selain daripada ayatnya pendek-pendek, surah ini juga pendek. Hanya 78 ayat. Walaupun ayat dan surahnya pendek, namun pengajaran yang tersirat di dalamnya tidak digambarkan dengan kata-kata.

Satu perkataan sahaja sudah cukup untuk surah ini - erti syukur.


فَبِأَىِّ ءَالاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ 

"Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?"


Cuba anda bayangkan, ayat ini diulang sebanyak 31 kali dalam surah tersebut. Ini menunjukkan betapa banyaknya nikmat yang Dia telah beri pada kita.

Kadangkala, kita suka membandingkan diri sendiri dengan orang yang lebih daripada kita - contohnya dalam isu kecantikan diri. Ataupun dalam isu harta benda, kepandaian, kebolehan dan macam-macam lagi.

Ya, saya juga pernah diuji sedemikian. Kenapa aku tak dapat ini, kenapa aku tak dapat itu, dan macam-macam kenapa lagi. Saya ingin bawakan satu contoh terbaik yang saya pernah alami dalam hidup saya, yang membuatkan saya merasakan Allah itu terlalu baik, dan sememangnya Dialah yang terbaik. Dialah sebaik-baik pengatur kehidupan.


Sejak sekolah rendah hinggalah ke sekolah menengah, saya meminati sains - sebetulnya di dalam bidang kejuruteraan. Minat kepada bidang perubatan langsung tidak ada. Malahan subjek Biologi adalah antara subjek yang saya paling benci semasa di sekolah.

Tamatnya zaman persekolahan dengan keputusan SPM yang bagus, saya cuba memohon bidang kejuruteraan aeronautik di UTM. Tetapi ayah sebaliknya menyuruh saya menjadi seorang doktor perubatan. Mahu tidak mahu, terpaksalah saya mengambil Sains Hayat semasa di matrikulasi. Dan ketika itulah saya menanam sedalam-dalamnya minat terhadap ilmu perubatan yang sehingga sekarang masih belum terpadam dalam diri saya.

Tetapi, Allah itu maha bijaksana. Dia telah mengaturkan saya di dalam bidang kimia, dan bukannya perubatan. Seminggu saya termenung memikirkan nasib kerana tidak berjaya ke med school USM. Sebaliknya saya diterima masuk ke chem school. Masih USM. Cuma pusat pengajian yang berbeza. Dan sejak itu, saya berfikir,


"Mungkin ada hikmahnya semua ini. Allah sedang menguji iman aku."


Masuk tahun kedua, tibalah masa untuk ke latihan praktikal. Atau pun latihan industri. Saya sengaja memilih untuk melakukannya di Jabatan Patologi sebuah hospital di pantai timur, walaupun saya tahu pendedahan aplikasi kimia tidaklah sebanyak mana berbanding di industri-industri berat lain.

Kebetulan, hospital yang saya mohon untuk latihan praktikal adalah tempat bertugasnya seorang sepupu saya, Dr.Rozila Aziz. Beliau seorang doktor bius, bertugas di Jabatan Pembedahan dan wad ICU hospital berkenaan. Dan dengan beliaulah saya tinggal sepanjang latihan itu berjalan.

Yang menariknya, sejak hari pertama lagi saya menjejakkan kaki ke hospital tersebut, seorang kanak-kanak menegur saya.

"Wah, doktor nak pergi mana ni?"


Saya terkedu. Ah, cerdiknya budak ini! Kata saya dalam hati. Malangnya dik, kakak bukan doktor. Huhu. Mungkin kerana saya memakai cermin mata, maka gaya seorang doktor itu terbias di wajah. Saya ketawa senang.

Banyak kejadian yang berlaku di hospital tersebut, dan ramai yang menyangka saya doktor HO (houseman officer) yang baru. Pelajar-pelajar praktikal kolej swasta di Jabatan Patologi tersebut juga suka mengusik saya dengan panggilan doktor. Malahan, ketika saya memberi penerangan kepada seorang warga emas tentang ujian darah yang dijalankan disitu, beliau menyusuli dengan kata-kata ini kepada saya:


"Terima kasih banyak-banyak doktor. Makcik dah boleh balik la ni ye?"


Saya hanya tersengih dan melihat makcik itu pulang. Malu saya makcik! 

Antara pengalaman yang paling tidak boleh dilupakan, saya sempat menyaksikan beberapa siri pembedahan kerana diajak oleh sepupu saya. Seperti orang lapar yang disuakan nasi, saya dengan senang hati melangkah masuk ke OT (operation theater). Antara pembedahan yang saya telah saksikan ialah:

  1. Femur fracture (seorang warga Indonesia, tulang pahanya patah)
  2. C-section (caesarian)
  3. Fournier's gangrene (yang ini agak memalukan bagi saya, tetapi niat untuk belajar. hehe)
  4. Finger amputation (2 jari seorang wanita yang terpaksa dipotong akibat gangrene)
  5. Laparoscopic appendectomy (prosedur membuang apendiks menggunakan kamera mikro yang dimasukkan melalui pusat pesakit. Yang ini paling menarik)


 
Ketika berada di OT. Ada gaya tak? Haha
Ramai yang berada di dewan bedah itu menyangka dan bertanya, apakah saya pelajar perubatan. Agak rendah diri di situ. Namun saya kuatkan semangat kerana, ini peluang terang-terangan yang Allah kurniakan kepada saya. Walaupun tidak berjaya ke med school, tetapi saya berpeluang untuk mengobserve beberapa surgery seperti yang dialami oleh pelajar-pelajar medic yang lain. 

Tidakkah saya patut bersyukur? Allah itu maha baik. Jika Dia tidak beri dalam bentuk yang direct, selalunya kita akan dapat dalam bentuk indirect. Macam kes saya di atas. 

Peristiwa ini cukup memberi kesan dalam diri saya, kerana Allah sudah tunjukkan kepada saya kehidupan seorang doktor. Apakah mampu saya menanggungnya jika saya benar-benar bergelar doktor?

Bekerja dalam bidang kimia tidak kurang hebatnya. Kerana anda akan menyelesaikan maslahah umum umat Islam - contohnya seperti analisis untuk makanan yang halal dan tidak halal dimakan, isu ketoksikan dan crime scene investigation. Nah, bukankah ini suatu fardhu kifayah? Sepatutnya saya harus berbangga kerana dapat berbakti kepada lebih ramai orang! :)



P/s: dulu saya selalu terfikir, tak dapat jadi doktor, kahwin dengan doktor pun jadilah. Tak kahwin dengan doktor, ada gaya doktor pun jadilah. Tapi sekarang, azam saya sudah lain. Jadi doktor untuk merawat hati bakal suami dan anak-anak cukuplah. Itu sudah memadai :)

P/s/s: berada di bidang kimia industri memungkinkan saya untuk menyandang jawatan jurutera. Apakah Allah mahu saya meneruskan minat yang sudah terkubur itu? Hanya Allah sahaja yang mengetahui.

P/s/s/s: teringat kata-kata Nur Madihah, pelajar yang mendapat 20A dalam SPM (tahun bila saya tak ingat), cita-citanya adalah untuk menjadi seorang ahli fizik kerana tidak ramai orang Melayu yang menjadi ahli fizik. Berbanggalah dengan setiap bidang yang anda ceburi, kerana setiap kejadian manusia itu ada fungsinya terhadap manusia lain. Wallahu'alam.




0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...