Sabtu, 26 Mac 2011

MasyaAllah, Berlagaknya!

Dalam beberapa insiden yang berlainan, saya berhadapan dengan pelbagai kerenah manusia yang saya sendiri kurang pasti untuk mentafsirkannya. Adakah ianya satu bentuk luahan perasaan atau pun satu jenis perbuatan menunjuk-nunjuk kehebatan diri, saya pun tidak tahu.

Entri kali ini tidak sesekali ditujukan kepada sesiapa. Sekadar peringatan kepada diri sendiri dan anda yang sedang membaca. Kita hidup dikelilingi pelbagai jenis manusia - dan di antara mereka termasuklah golongan ini. Suka bermegah dengan kehebatan dan kelebihan diri. Atau dalam bahasa yang paling mudah dihadam: macam bagus.


Apabila berhadapan dengan orang sebegini, saya masih cuba tersenyum di luar. Namun di dalam hati, masyaAllah. Tuhan saja yang tahu. Suatu perasaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata muncul dalam hati. Ya, saya menjadi geram tetapi saya cuba memujuk diri. Mungkin orang ini tidak sedar akan perbuatannya. Atau pun dah dia memang bagus, jadi dia patut bermegah dengan kepandaian atau kebolehannya.

Eh? Patutkah bermegah? Bukankah merendah diri dan low-profile itu lebih baik?

Bagi saya, manusia low-profile di zaman ini agak sukar ditemui. Ada, hanya dua tiga dalam sepuluh orang. Yang lain, wallahu'alam. Saya tidak tahu.

Teringat akan seorang sahabat, pasangan lab saya. Beliau terkejut saat saya mengucapkan tahniah kepadanya atas kejayaan memperolehi anugerah dekan dalam peperiksaan semester lepas.

Beliau berkata, seboleh-bolehnya dia tidak mahu orang lain tahu tentang pencapaiannya. Memang benar, pada permulaannya saya juga sama sekali tidak menyangka yang beliau mendapat anugerah dekan. Dengan wajahnya selamba, pakaian selekeh dan seringkali blur ketika lab, sering ponteng kelas, namun dalam diam beliau rajin. Dan tidak menunjuk-nunjuk. Ini menambahkan respect saya kepada beliau.

Kadang-kadang, kita mungkin tidak perasan setiap percakapan kita menimbulkan rasa kurang senang kepada orang lain. Mungkin kita ingin berkongsi kegembiraan kita dengan orang lain, tetapi malangnya rasa kegembiraan yang ingin disampaikan itu bertukar menjadi rasa menyampah kepada penerima. Oops, sampaikah mesej anda?

Mungkin ada yang terlintas di fikiran:


"Alah, kau jealous kan. Sebab tu kau rasa menyampah dengan dia."


Perasaan cemburu itu timbul kerana anda ingin menjadi seperti si polan tersebut. Namun awas, perasaan cemburu boleh bertukar kepada rasa jelek apabila si polan tersebut seakan berlagak dengan kelebihannya. 

Tetapi situasi akan menjadi berbeza jika, si polan tersebut penuh rasa rendah diri. Si polan itu hanya menganggap itu hanyalah suatu rezeki Tuhan yang dilimpahkan kepadanya. Rasa hormat kepada si polan ini akan mencanak-canak naik, dan tidak mustahil anda juga akan berusaha untuk berjaya seperti dia. Persaingan sihat kata orang.

Anda boleh mengesan sendiri gaya percakapan yang berlagak atau merendah diri. Elakkan gaya percakapan yang bermegah-megah, riak dan takbur. Anda dan saya mampu mengubahnya.



P/s: saya pasti saya juga pernah buat silap. Kepada rakan-rakan yang ada terasa sebegitu dengan saya, saya mohon maaf. Ini khilaf saya, dan saya sendiri kadang-kadang tidak menyedarinya.




0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...