Rabu, 30 Mac 2011

Rahsiakan Pertunangan, Hebahkan Pernikahan

Gambar ini diambil sewaktu majlis akad nikah
dua pupu saya, Kak Su.
Saya rasa terpanggil untuk menulis entri ini setelah berlaku sedikit kekecohan sejak beberapa hari yang lalu. Alkisahnya, timbul kisah seorang sahabat lama saya yang sudah melangsungkan perkahwinan pada tahun lepas, tetapi majlis walimah belum dilangsungkan. Malahan, saya sendiri tidak mengetahui yang beliau sudah pun berkahwin, dan saya hanya mengetahuinya melalui seorang sahabat rapatnya.

Pada awalnya, saya sendiri agak terkilan kerana tidak diberitahu akan pernikahan beliau. Saya lebih suka jika beliau sendiri memaklumkan kepada saya tentang itu.




Atas dasar sahabat, saya dengan rasa tanggungjawab menghebahkan kepada rakan-rakan yang lain bahawa beliau sudah bernikah. Semua ini demi mengelakkan fitnah jika ada yang ternampak beliau dengan lelaki yang disangka lelaki ajnabi, sedangkan mereka sudah halal.

Saya dan beliau merupakan sahabat lama di sekolah menengah dahulu, dan akhirnya Allah menemukan kami di universiti yang sama. Di awal zaman universiti, saya pernah beberapa kali bertemu dengan beliau dan berbual. Nama sahaja satu universiti, tetapi peluang untuk berjumpa agak sukar. Sekarang, kami sama-sama berada di semester akhir.

Baru-baru ini, saya terserempak dengan beliau dari jauh. Kelihatannya ada seorang lelaki di sebelah. Kedudukan mereka agak rapat antara satu sama lain. Wajahnya juga lebih berseri daripada biasa.  


"Mesti husband dia." kata saya dalam hati. 


Saya hanya tersenyum lebar dan melambai-lambai ke arahnya. Niat di hati ingin bertegur sapa dan berborak panjang, tetapi apakan daya ketika itu saya bersama seorang rakan lain yang ingin makan tengahari bersama-sama saya di kafe. 

Namun, jika berita perkahwinannya belum sampai ke telinga saya, agak-agak apa yang akan terlintas di hati saya?


"Eh, dia dengan siapa tu? Pakwe kot. Ish, takkan dengan pakwe? Dia kan orang baik-baik?"


Nah, anda boleh menilai dua situasi berbeza di sini. Situasi kedua sudah terang-terangan menimbulkan syak wasangka dan ragu-ragu di dalam hati. Perkahwinan bukan semata-mata untuk menghalalkan hubungan kelamin antara lelaki dan wanita, ia juga untuk mengelakkan fitnah manusia. 

Tetapi, jika perkahwinan juga tidak mampu mengelakkan fitnah, apa pula ceritanya?

Dan kerana itulah, Rasulullah ada menyebut dalam satu hadis di mana, majlis walimah atau kenduri kahwin adalah sunat muakkad. Bererti, sunat yang sangat dituntut. Majlis walimah juga berfungsi untuk menghebahkan sesuatu perkahwinan, agar tidak timbul fitnah jika ada yang melihat mereka berdua-duaan.

Sabda Rasulullah S.A.W kepada Abdul Rahman bin Auf sewaktu beliau berkahwin:


"Semoga Allah memberkatimu, adakanlah walimah walaupun hanya dengan menyembelih seekor kambing."

(Riwayat Bukhari dan Muslim)


Terdapat juga beberapa hadis lain menceritakan perihal mengadakan majlis walimah. Anda boleh rujuk sini. Berbeza dengan majlis pertunangan, disebut sendiri oleh Rasulullah S.A.W agar tidak menguar-uarkan pertunangan.


"Rahsiakan pertunangan, dan iklankan (maklumkan) perkahwinan."

(Hadis riwayat Ahmad dari Abdullah bin Zubair)


Saya ingin memetik sedikit kata-kata Ustaz Hasrizal (rujuk di sini):

"Pertunangan adalah suatu komitmen yang belum pasti. Ia mungkin berakhir dengan perkahwinan, boleh juga tamat pada kesudahan yang tidak diharapkan. Namun ulama' menjelaskan bahawa di antara hikmah Islam menggesa pertunangan itu tidak dihebah-hebahkan ialah kerana untuk menjaga nikmat ini daripada dirosakkan oleh hasad manusia yang bertindak tidak baik. Ia dijelaskan demikian di dalam Hashiah al-'Adawi 'ala Sharh Mukhtasar Khalil."



Mungkin beliau ada sebab tersendiri. Terserah kepada beliau. Saya berdoa semoga kehidupan berkeluarganya di rahmati Allah sentiasa. Tidak lupa juga kepada anda, semoga semua yang membaca mendapat input yang berguna.


P/s: tunang diam-diam, kahwin sebar-sebarkan. :)



0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...