Isnin, 11 April 2011

Kucing Juga Makhluk Tuhan Seperti Anda

Petang ini, saya tergelak besar apabila mendapat satu MMS yang dihantar oleh adik perempuan saya, Bibi. Kandungan MMS tersebut adalah gambar mama saya yang sedang tidur nyenyak bersama baby kucing baru keluarga kami yang bernama Ng. Kata Bibi, mama baru sahaja memandikan Ng dan adik-beradiknya yang lain. Elok sahaja berbungkus. Tapi, kenapa dengan kain buruk? Huhu.

Bibi guna kain buruk. T___T

Sekali lagi saya ketawa apabila Bibi memberitahu nama-nama baby kucing tersebut. Ku, Chi dan Ng. Asalnya daripada perkataan 'kucing'. Maka, disebabkan mereka tiga bersaudara, Bibi meletakkan nama begitu kepada mereka. Ah, nakal juga si Bibi ni.


Seekor dah mati. Tinggallah Ku, Chi dan Ng je. Huhu.


Baby-baby kucing ini baru sahaja berusia hampir sebulan. Mama dan ayah berusaha membawa pulang baby-baby kucing yang 'yatim-piatu' ini dari sekolah Adik (adik bongsu saya). Barangkali, mama dan ayah mahu memujuk saya. Kucing kami, Shiro yang berusia 4 tahun pada 3 April lalu, telah meninggalkan kami buat selama-lamanya setelah melahirkan anak bulan lepas. Anak-anaknya juga turut mati.

Saya sangat menyayangi kucing tersebut, kerana sayalah yang 'menyambut' kelahiran Shiro dan abang-abangnya yang lain. Abangnya Si Putih telah lari entah ke mana. Manakala Si Kuning yang paling comel, mati dilanggar kereta. Sadis sungguh. Shiro membesar dalam jagaan kami semenjak kelahirannya.


Shiro dalam kenangan. Wuwuwuwuwu T___T


Apabila berita kematian Shiro sampai ke telinga saya, saya tidak dapat menahan air mata. Semalaman saya menangis. Sehinggakan terpaksa ponteng satu kuliah pagi keesokkan harinya akibat mata yang bengkak. Alamak, air mata saya bergenang tiba-tiba.

Namun alhamdulillah, Allah ambil Shiro daripada saya dan menggantikan dengan tiga kucing lain.

Anda pernah dengar tentang blog Papa Hero? Jika belum, silalah melawat ke blog beliau. Hero, kucing yang beliau kutip di jalanan, kaki hadapannya telah dipotong oleh individu yang tidak bertanggungjawab kerana mencuri. Kejam sungguh. Tetapi Allah itu Maha Berkuasa, kucing itu masih hidup dan sihat sehingga sekarang. Saya baru sahaja selesai membaca entri beliau yang satu ini, yang saya cukup sedih. Betapa prihatinnya pemilik blog ini terhadap kucing.


http://kakimotong.blogspot.com/

Tahukah anda, kucing adalah haiwan kesayangan junjungan mulia Rasulullah s.a.w.? Lihat, bukankah mudah nak mengamalkan sunnah baginda?

Kisah Abu Hurairah juga berkait dengan haiwan comel ini. Abu Hurairah itu sebenarnya hanyalah nama gelaran yang diberikan kepada sahabat Rasulullah s.a.w. ini kerana kecintaannya yang begitu mendalam terhadap kucing.


Mari kita lihat sedikit kisah Abu Hurairah ini:

Dalam suatu peristiwa, tatkala seorang sahabat nabi bernama Abdul Rahman bin Sakhr menemui seekor anak kucing yang sedang mengiau kerana kehilangan ibunya. Beliau yang dalam perjalanannya menuju Masjid Nabawi, berasa kasihan kepada anak kucing itu, lalu mengambil dan meletaknya dalam baju besar beliau. Sesampainya di masjid, baginda bertanya Abdul Rahman, apa dalam bajunya? Ia menjawab anak kucing yang kehilangan ibu, aku mengambilnya kerana kasihan padanya. 


Lalu baginda menggelarkan Abdul Rahman dengan Abu Hurairah (bapa kucing).Gelaran bapa kucing tidak sedikitpun menjejaskan maruah dan reputasi Abdul Rahman, malah inilah gelaran yang paling disukai tatkala namanya disebut, kerana nabi sendiri yang memberi gelaran itu. Selain itu juga, gelaran Abu Hurairah mengingatkan beliau kepada suatu amal soleh yang pernah dilakukannya menerusi pembelaan seekor anak kucing.


Rujukan kisah Abu Hurairah saya ambil dari sini: http://zalyin.multiply.com/journal/item/13


Dikatakan, kucing adalah haiwan yang cukup suci. Sehinggakan air yang telah dijilat kucing adalah sah untuk digunakan untuk berwudhu'. Rujuk sini.

Dalam suatu hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar R.A., Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:


"Seorang wanita dimasukkan ke neraka, kerana mendera seekor kucing, ia tidak memberinya makan minum sehingga mati kelaparan."


Lihat, berlaku zalim kepada binatang hatta seekor kucing sekalipun telah melayakkan anda menempah satu tiket percuma ke neraka. Anda mahu?

Jadi, jika anda tidak menyukai kucing sekalipun, janganlah sesuka hati menyepak menerajang haiwan tersebut. Walau anjing jalanan sekalipun. Mereka juga makhluk Allah. Allah tidak akan menjadikan sesuatu melainkan ada fungsinya terhadap makhluk yang lain. Sayangilah haiwan sebagaimana anda menyayangi manusia lain.


P/s: manusia yang buang anak sendiri macam mana ye?




0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...