Selasa, 12 April 2011

Maaf, Saya Sedang Bercinta

Suatu hari, seusai berbual dengan mama saya di telefon sebelum tiba waktu kuliah, rakan saya di sebelah menegur:

"Borak dengan siapa tadi?"

Saya tersengih dan menjawab ringkas, "Dengan mak. Kenapa?"

Kelihatannya beliau sedikit terkejut. "Romantiknya. Macam dengan pakwe." 

Saya ketawa besar. Bukan kali pertama kejadian ini berlaku. Ketika berada di zaman matrikulasi dulu pun, rakan-rakan sebilik pelik melihat saya bercakap telefon dengan abang saya yang ketika itu sedang menuntut di Sarawak. Peluang untuk bertemu mata dengan beliau agak sukar, jadi telefonlah yang menjadi penghubung kami sekeluarga.

"Cakap telefon dengan abang macam dengan pakwe." Lagi.





Hari ini, pagi-pagi lagi saya sudah menghantar SMS kepada ayah. Mesej hari lahirnya ke 56. Saya jarang berSMS dengan ayah. Jadi, jika berpeluang sekali-sekala berSMS dengan beliau, perasaannya cukup lain. Saya boleh tersengih seorang diri. Lagaknya seperti muda-mudi yang sedang bercinta pada hari ini.


"Selamat hari lahir ke 56, ayah. Semoga panjang umur, bertambah2 murah rezeki dan cepat2 dapat menantu dan cucu. Hahaha."


Itu mesej saya kepada ayah. Saya ketawa sendiri. Selang beberapa minit, ringtone SMS Doraemon saya berbunyi.


"Tq. Nanti bulan 5 kita sambut untuk 3 beranak sekali. Ok?"

Saya membalas, "Ok! Nanti kakak belanja kek."

Balas ayah, "Takpe, ayah belanja. Jangan risau."


Saya senyum meleret selepas itu. Rasa kelakar dan lucu menggeletek hati. Nak menulis pun tergendala seketika. Bulan April adalah jatuhnya hari lahir Bibi, ayah dan saya.

Agaknya apa perasaan orang yang sedang bercinta ye? Saya melihat ramai rakan-rakan yang sedang bercinta tersengih-sengih seorang diri tatkala membaca SMS di handphone masing-masing. Almaklumlah, saya tidak pernah bercinta. Dan insyaAllah, cinta yang menebal dalam diri ini hanyalah untuk si dia yang berhak. Yang bergelar raja di hati. Yang bergelar suami.

Saya simpan cinta itu untuk dia. Harap-harap dia pun simpan untuk saya sekali. Semoga cinta yang 'diluluskan' oleh Allah suatu hari nanti dapat dinikmati bersama dia. Walaupun saya tidak tahu siapa dia dan di mana dia berada.

Ya, memang saya sedang bercinta. Bercinta dan berkasih sayang dengan ahli keluarga yang sememangnya orang yang paling lama dan antara yang terawal muncul dalam hidup kita.

Cinta Allah dan Rasul itu semestinya. Tetapi kadang-kadang kita lupa untuk 'beromantis' dengan Pencipta. Terasa jauh. Sehingga cinta itu seakan pudar. Hanya meminta kepada-Nya ketika dilanda masalah. 

Saya cipta satu analogi di sini, jika buah hati anda perangainya sebegitu, hanya muncul di hadapan anda ketika berada di dalam masalah, apakah anda mahu mencintainya lagi?


"Tinggalkan saja. Buat apa berkorban untuk orang sebegitu."


Rasanya itulah jawapan tipikal yang akan diberi oleh kebanyakkan orang. Tetapi tidak bagi Allah. Anda ingat Dia, Dia akan ingat anda. Konsepnya mudah.

Kadang-kadang saya malu sendiri. Ramai yang beriya-iya menagih cinta manusia, sehingga ada yang sanggup terjun bangunan dan segala bagai. 

Cinta sesama manusia itu fitrah yang suci. Cinta jadi buta dan kotor kerana nafsu dan syaitan. Cinta itu anugerah Tuhan, dan kerana cinta manusia hidup aman dan damai.

Tetapi sebelum itu, cintailah ibu bapa dan keluarga. Mereka lebih berhak menerima cinta anda, kerana merekalah yang ada bersama anda jauh lebih lama berbanding manusia yang anda cintai sekarang. Baik buruk mereka, mereka keluarga anda.

Dan semoga berolehnya cinta, kita akan kenal dengan Pencipta cinta itu. InsyaAllah.


P/s: ok, lagu tema entri ni ialah Kalimah Cinta - In-Team. Cepat pasang sekarang. Hehe :P




0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...