Sabtu, 9 April 2011

Telur Ayam Sintetik (Tiruan) Dari Kaca Mata Seorang Pelajar Kimia

Dalam istilah sains, sintetik adalah bahan bukan semulajadi. Bermaksud ianya dicipta dan diolah daripada bahan lain terutamanya bahan-bahan kimia menjadi suatu bahan lain yang menyerupai bahan asal atau semulajadi yang dikehendaki - seperti telur ayam.

Pernah dengar tentang telur ayam tiruan? Dua tiga hari kebelakangan ini, isu telur tiruan ini menjadi isu hangat di media. Sebenarnya di China, kewujudan telur tiruan ini sudah lama. Malah dikomersialkan oleh sebuah syarikat. Anda mahu tahu cara-cara menghasilkannya? Mari saya kongsikan kepada anda.

Cuba anda bayangkan, kos untuk membuat telur sintetik ini tersangatlah murah. Kos pembuatan untuk satu kilogram telur ini hanyalah lebih kurang 0.55 yuan. 1 yuan bersamaan dengan kira-kira RM 0.462. Jadi, secara kasarnya, di Malaysia, harga kos untuk sekilogram telur tiruan ini hanyalah kira-kira 25 sen!



Bahan-bahan:

Untuk kulit telur - kalsium karbonat, minyak paraffin, serbuk gipsum

Untuk kuning dan putih telur - sodium alginat, gelatin

Bahan tambah - pewarna kuning, asid benzoik, glulakton, alum, asid amino, selulosa, kalsium klorida.


Cara-cara membuatnya:

1. Sodium alginat dipasarkan dalam keadaan serbuk. Jadi, anda perlu melarutkannya terlebih dahulu di dalam  larutan akues kalsium klorida. Kepekatan dilaraskan kepada tahap tertentu, kacau hingga sebati. Sodium alginat ini lama kelamaan akan membentuk satu bahan berwarna jernih menyamai putih telur.





Untuk kuning telur bagaimana? Sediakan larutan yang sama seperti di atas, dan masukkan sahaja pewarna kuning!





Sekarang, semua larutan asas sudah disediakan.


2. Okey, larutan 'telur' sudah siap. Mari kita buat bentuk telur. Masukkan larutan kuning telur tersebut ke dalam bekas yang berbentuk bulat seperti telur, dan masukkan larutan kalsium klorida. Lapisan luar kuning telur tersebut akan memejal dengan pantas dan membentuk lapisan jernih seperti membran. Selepas satu minit, siaplah kuning telur anda!






3. Langkah seterusnya - memasukkan larutan kuning dan putih telur ke dalam kulit telur. Kuning telur yang sudah 'cantik' berada dalam membran tadi dicampurkan bersama putih telur yang anda sudah sediakan awal-awal tadi ke dalam bekas menyerupai telur asal. Kulit telur dihasilkan menggunakan kalsium karbonat. Selepas bekas itu dikupas, maka anda akan mendapat sebiji telur tiruan atau telur sintetik!

Kulit telur tiruan ini sebenarnya ada dua lapis, satu bahagian yang lembut atau membran, dan selapis lagi adalah bertujuan untuk menyerupai telur ayam sebenar yang berwarna sedikit perang.
Membran akan memisahkan larutan telur yang masih cair dengan kulit luar yang keras.









Ulasan saya:

Anda lihat sendiri, telur ini dihasilkan seratus peratus menggunakan bahan kimia. Mengenai bahan kimia yang digunakan, terdapat beberapa perkara yang ingin saya jelaskan di sini.

  • Sodium alginat adalah sejenis garam. Bahan ini digunakan untuk mendapatkan bentuk gel. Selalunya digunakan dalam industri makanan sebagai 'gam' ataupun agen pengemulsi. Menurut pembacaan saya, sodium alginat ini diekstrak daripada dinding sel alga perang. Sodium alginat juga salah satu bahan dalam industri cat - terutamanya untuk pewarna reaktif. Kod rujukan ialah E401.


  • Gelatin pula memang terang-terangan diekstrak daripada tisu kulit, tendon dan tulang haiwan yang direbus. Dan selalunya daripada khinzir. Ini tidak halal. Ya, telur ini akan menjadi tidak halal. Sudahlah penuh dengan bahan kimia, tidak halal pula tu! Kod rujukan ialah E441.


  • Asid benzoik berfungsi sebagai pengawet. Di dalam industri, asid benzoik dihasilkan dengan pengoksidaan separa antara oksigen dan benzene. Dan terhasillah asid benzoik. Anda tahu asalnya benzene dari mana? Jawapannya daripada petroleum. Benzene adalah bahan yang paling 'berat' (dalam bahasa mudah) yang dikeluarkan bersama-sama toluene dan xylene semasa penyulingan berperingkat di kilang. Penghasilan asid benzoik ada banyak cara sebenarnya. Cuma, yang saya nyatakan di sini adalah yang paling murah, mudah dan senang diperolehi. Jika anda pengilang, anda mahu beli barang asas yang mahal? Kod rujukan ialah E210, E211, E212 dan E213.


  • Kalsium karbonat. Ini adalah batu kapur. Tetapi ia juga komponen utama dalam haiwan bercengkerang dan juga - kulit telur. Oh, tidak hairanlah mereka gunakan kalsium karbonat sebagai bahan untuk menghasilkan kulit. Kod rujukan ialah E170.


  • Alum - bahan ini digunakan sebagai salah satu pemejal telur tadi. Sebenarnya, alum banyak digunakan sebagai agen penggumpal (coagulating agent) di pusat rawatan air dan sisa kumbahan. Alum juga merupakan salah satu komponen dalam pemadam api. Yang ini saya tak jumpa kod 'E'nya. Entah-entah bahan ini langsung tidak tersenarai sebagai bahan tambah (food additive) dalam makanan.


  • Kalsium klorida. Digunakan bersama kalsium karbonat untuk menghasilkan kulit telur. Tetapi tahukah anda, kalsium klorida yang saya gunakan di dalam makmal adalah berbentuk pellet (biji), dan tindakbalasnya adalah eksotermik. Mulut dan esofagus anda boleh melecur jika tertelan. Kod rujukan ialah E509.

  • Minyak paraffin, asid amino dan bahan tambah yang lain adalah kebanyakkan bahan kimia yang dihasilkan secara sintetik. Semuanya dibuat dengan tindakbalas bahan kimia yang lain di kilang-kilang kimia. 


Namun begitu, bahan kimia sebenarnya ada beberapa gred yang tertentu. Contohnya untuk kegunaan penyelidikan dan makmal, gred yang digunakan adalah gred analitikal (analytical grade). Manakala untuk industri makanan, grednya ialah gred makanan (food grade). Untuk kegunaan perubatan pula, bahan kimia yang digunakan adalah gred perubatan (medicinal grade).

Cuma, apa yang membimbangkan saya, 'teknologi' menghasilkan telur tiruan oleh warga China ini tidak sepatutnya dicipta. China terkenal isu pencemaran dalam industri makanan. Logam berat, melamin dan macam-macam lagi.

Anda perlu ingat, se'sintetik' mana pemakanan anda, namun kesihatan anda tidaklah se'sintetik' itu. Tiada istilah sihat sintetik dalam kamus perubatan. Jika ada, ramailah yang berpusu-pusu ke kedai untuk membeli sihat sintetik itu. Saya pun mahu cuba! Haha!

Warga China ini memang ahli kimia terulung. Tahukah anda mereka juga ada mencipta nasi tiruan? Oh, tidak! Kelebihan dalam bidang kimia sepatutnya digunakan ke arah yang betul. Bukannya mencipta serba-serbi bahan tiruan. Mungkin mereka mahu menjadi seperti Kakashi si copy ninja

Mungkin lepas ini mereka nak cipta manusia sintetik pula? Huu.


Sedikit ulasan, pandangan dan persepsi peribadi dengan penuh rasa rendah diri oleh:

Siti Khadijah Mn
Pelajar tahun akhir jurusan Kimia Industri,
Pusat Pengajian Sains Kimia,
Universiti Sains Malaysia.




P/s: diulangi - ini hanyalah persepsi peribadi saya. Terima kasih! :)

P/s/s: sedap ke? =.="




0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...