Minggu ini agak perit bagi saya. Mengejar deadline untuk menyiapkan projek, result peperiksaan keluar, dan macam-macam lagi. Terasa emosi seperti dilambung-lambung. Rakan-rakan yang mempunyai FB saya pastinya ada terbaca komen di status saya; "dah hampir terkena mental disorder".
Mungkin sudah sampai waktu 'itu' barangkali, saya bermonolog sendirian. Waktu istimewa kurniaan Allah hanya pada kaum Hawa, tidak pada Adam. Saya mengeluh kecil.
Di kepala terlalu banyak untuk difikirkan. Semak. Hari ini saya terpaksa ke Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan USM untuk berbincang dengan selanjutnya tentang study yang saya jalankan. Debaran di hati seakan menggila, mengingatkan pelajar master yang diamanahkan oleh co-supervisor saya untuk membimbing saya dalam study tersebut.
Kerenah pelajar master tersebut yang sedikit lain macam (jangan fikir yang bukan-bukan ye) amat merunsingkan jiwa, ditambah dengan keputusan peperiksaan semester lepas yang belum disemak.
Sebelum berjalan meninggalkan perkarangan PPS Kimia untuk ke Pusat Dadah, saya menerima satu SMS dari ayah berbunyi begini:
'Ayah dah masukkan duit.'
Baru saya teringat akan panggilan telefon dari ayah semalam bertanyakan tentang itu. Saya macam biasalah, tetap mengatakan 'ada' walaupun tidak sebanyak mana.
Semenjak kecil lagi saya memang tidak suka meminta wang dari ibu bapa. Sehinggalah dewasa begini, lagilah saya malu untuk meminta-minta. Bagi saya, sepatutnya saya yang memberi wang kepada mereka, bukan mereka memberi kepada saya. Tanpa lengah saya membalas SMS kepada ayah:
'Terima kasih banyak-banyak, ayah. Susah-susah aje.'
Saya meneruskan perjalanan lagi. Alhamdulillah, cuaca hari ini baik sekali. Tidak seperti semalam, meredah hujan saya ke sana. Handphone berbunyi lagi.
'Habis, kalau tak pada ayah, pada siapa lagi. Kan kakak anak ayah.'
Langkahan saya terhenti. Hampir terduduk saya membaca SMS itu. Air mata sudah bergenang, hanya menanti masa untuk jatuh ke pipi. Saya tidak tahu kenapa, tetapi yang pasti saya cukup terharu dan sedih ketika membaca SMS tersebut. Saya hanya membiarkan SMS itu tanpa balasan. Ayah...
Ketika kecil, ayah memang garang. Darah muda katakan. Tetapi dialah seorang ayah yang saya tak dapat cari gantinya di mana-mana.
- Seorang ayah sebenarnya lebih risaukan anaknya, tetapi jarang diluahkan secara langsung berbanding ibu. Ada ketikanya mama menelefon saya, ketika saya agak sibuk dengan kehidupan di universiti. "Ayahlah yang suruh mama telefon ni...lama sangat kakak tak telefon..."
- Ayah selalu berpesan kepada saya sebelum menaiki bas ke universiti, "Kakak, belajar elok-elok. Kenal buku sebelum kenal orang..."
- Ayah juga selalu ingatkan, "Kakak, jangan bercakap dengan orang yang tak kenal."
- Ketika saya meluahkan kesukaran hidup di universiti, ayah selalu berpesan untuk mengamalkan surah Taaha setiap kali selepas solat. Untuk menerangkan hati katanya.
- Ayah juga selalu berpesan, "Sebelum tidur jangan lupa amalkan apa yang ayah ajar tu..."
- Mengenai soal perbelanjaan, ayahlah yang banyak bertanya sebenarnya. Bukan bertanya kepada saya, tetapi merisik dari mama. Bagaimana hidup anak-anaknya di perantauan.
- Ketika bercakap mengenai soal jodoh, ayah berkata, "Orang perempuan kena jual mahal sikit. Kalau dah jodoh, kakak akan kahwin jugak. Jangan jadi murah sangat...Allah dah tetapkan semua tu..."
Mengenangkan itu semua, setiap kali saya ditegur oleh orang yang tidak dikenali, saya akan teringat pesan ayah.
Setiap kali saya teringin keluar dengan kawan-kawan, saya teringat pesan ayah.
Setiap kali saya ingin melakukan sesuatu yang tidak patut, saya teringat pesan ayah.
Kerana saya tahu, ayah tahu yang dia akan disoal di akhirat nanti tentang anak-anak perempuannya. Kerana amal perbuatan, dosa anak perempuan dan isterinya terletak di atas bahunya selagi dia tidak menegur dan membetulkannya.
Oh ayah, kakak sangat bertuah menjadi anak ayah. Terima kasih, ayah. Kakak sayang ayah.
Mama and ayah: you're one of a kind. I will never find a replace. Never. |
0 Komen:
Catat Ulasan