Alhamdulillah, walaupun Allah menarik sekejap nikmat air di bumi Pulau Pinang hari ini, namun ianya sesuatu yang sangat bagus. Jarang sekali pemandangan seluruh penghuni desasiswa bangun awal sebegini. Semuanya gara-gara tiada air. Saat azan Subuh berkumandang, saya tersedar dari tidur. Bunyi air di dalam shower sudah kedengaran. Wah, ramainya bangun awal pagi ni!
Entri kali ini lebih bersifat peribadi dan pendek saja, demi meraikan adik yang seorang ini. Hari ini adalah hari lahir adik lelaki saya, Fakrul yang ke 20. Sanah helwa ya akhi!
Fakrul yang baru boleh merangkak ketika ini. Di belakangnya abang saya, saya di hadapan, dan di belakang saya sepupu, Kak Cumi. |
Sebelum memasuki alam persekolahan, saya dan abang saya selalu bermain bersama. Tidak kiralah ke mana-mana, saya suka mengikut abang saya bermain. Sebab itulah sewaktu kecil, saya tidak mempunyai ramai kawan perempuan. Seingat saya hanya seorang sahaja kawan perempuan yang saya ingat-ingat lupa. Azie namanya, kalau tak silap. Kebanyakkan barang permainan juga boy-like. Kalau abang saya main pedang, saya pun main pedang.
Kedatangan adik saya si Fakrul ni boleh dikatakan menambahkan geng kami. Tetapi malangnya beliau lebih 'suka' untuk 'memusnahkan' barang permainan kami yang berbakul-bakul itu. Bila diingatkan kembali, memang manis rasanya saat ketika kecil-kecil dahulu.
Satu insiden yang paling tidak boleh dilupakan, ketika itu beliau berumur 1-2 tahun. Saya dan abang mempunyai pedang bercahaya. Abang saya yang panjang dan bercahaya putih, manakala saya yang pendek, bercahaya hijau. Malangnya, pedang itu telah dipatahkan oleh si kecil Fakrul. Memandangkan pedang abang sudah patah, maka saya tiadalah geng untuk lawan-lawan pedang. Saya dengan sengaja mematahkan pedang sendiri. Terasa sangat comel bila mengingatkan kenakalan masing-masing ketika kecil.
Sekarang beliau sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya (UM) dalam bidang ekonomi. Baru tahun satu.
Saya dengan adik lelaki yang seorang ni agak serasi kerana kami banyak persamaan.
Satu perkara yang membuatkan saya terharu ialah; ketika kami sekeluarga dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk menghantar beliau ke UM. Ketika itu beliau sedang bercerita mengenai rakan-rakan sekolahnya, yang dapat memasuki universiti itu dan ini. Tiba-tiba, terkeluarlah satu ayat:
"Niat aku, memang aku nak lawan dengan kakak aku. Dan sekarang, aku dah berjaya mengatasi dia."
Apa perasaan anda jika anda tahu ada yang menjadikan anda sebagai inspirasi dan idola hidup? Saya ketika itu hanya tersenyum, padahal dalam hati, bangga bukan main. Nampaknya saya telah berjaya memberikan contoh yang terbaik untuk adik-adik saya. Alhamdulillah. Dan perlu lebih baik lagi pada masa hadapan. InsyaAllah.
P/s: post saya di wall FB beliau; hepi besday bro! (ganasnya kakak dia. hehe)
0 Komen:
Catat Ulasan