Rabu, 22 Disember 2010

Arwah Ibu Memalingkan Muka Ketika Anak Memohon Maaf

Bagi rakan-rakan pembaca yang mempunyai FB saya, saya pasti ada di antara anda yang pernah membaca kisah ini kerana saya pernah siarkan kisah ini melalui notes. Teruskan membaca. Sama-sama kita ambil iktibar. InsyaAllah.





Peristiwa ini berlaku sekitar tahun 2006, ketika itu bulan puasa. Bulan Ramadhan yang barakah. Kebetulan sewaktu itu, aku bercuti semester. Semua warga kolej matrikulasi pulang ke rumah masing-masing. Lengang. Tiada kelibat manusia di situ.

            Suatu pagi, ayah menerima panggilan telefon dari sebuah hospital besar di Kelantan, di mana makcikku ditempatkan. Kira-kira pukul 2.00 pagi, ayah menyambut panggilan itu. Dan nyatalah seperti sangkaanku, makcik sudah meninggal dunia. Aku telah mendapat instinct sebelum itu, lebih kurang 2-3 hari. Mungkin itu tandanya kekuasaan Allah yang Maha Besar. Selalu memberi petunjuk kepadaku jika ada orang-orang terdekat akan pergi meninggalkan dunia nyata.


            Ayah yang sedang mamai menjawab telefon hanya tergamam dan mengucapkan innalillahiwa’innailahi roji’un kepada si mati. Tetapi ayah sempat memberitahu kepada staf hospital yang menelefon bahawa makcikku mempunyai seorang anak kandung dan seorang anak angkat. Sudahkah diberitahu kepada mereka untuk menuntut jenazah makcik. Malangnya, staf itu menjawab, panggilan sudah dibuat kepada anak kandung makcik, tetapi jawapan yang diterima amat mengecewakan. Dia seakan-akan mahu mengelak. Kecewanya ayah ketika itu.

            Aku dan keluarga bersiap untuk turun selepas bersahur untuk menuju ke rumah anak angkat makcik. Rumahnya lebih dekat dengan rumah kami, tetapi rumah anak kandungnya lebih dekat dengan hospital tersebut...

            Ayah dan beberapa pakcikku yang lain bergegas ke Kota Bharu untuk menuntut jenazah makcik. Setelah dibawa pulang, beliau dimandikan dan dikafankan. Aku melihat semua proses itu. Tidak lama kemudian, anak kandungnya, Salim (bukan nama sebenar) tiba di rumah itu bersama isterinya. Sewaktu itu, jenazah sudah siap dikafankan. Hanya bahagian muka sahaja dibiarkan terbuka supaya kaum kerabat boleh menatap dan mencium makcik buat kali terakhir.

            Wajah makcik sangat tenang. Putih bersih. Aku hampir mengalirkan air mata. Arwah makcik meninggal dunia keseorangan. Bertarung nyawa sendirian tanpa sesiapa di sisi menemani saat nafasnya yang terakhir dihembuskan. Makcik disahkan menghidap sejenis penyakit keturunan, yang melibatkan mental. Ya, sakit mental, tetapi kroniknya hanya datang sekali-sekala. Mungkin kerana penyakit inilah si Salim itu malu untuk menuntut jenazah ibunya.

            Sewaktu hidupnya, ketika makcik diserang penyakitnya itu, beliau akan bercakap tidak tentu hala. Bergaduh dengan ibunya iaitu nenekku. Walaupun begitu beliau sangat baik hati. Beliau sentiasa bertanyakan perihal aku jika ayah dan mama melawat ke rumah mereka. Makcik dan nenek tinggal serumah sejak suaminya pulang ke rahmatullah tidak lama dahulu. Ada ketikanya, makcik sangat terasa hati dengan anak kandungnya, Salim. Suatu hari ketika Salim melangsungkan perkahwinan anaknya, ibunya langsung tidak dijemput. Hati ibu mana yang tidak luluh mengenangkan perangai anak sendiri. Makcik memendam perasaan selama ini. Tidak tahulah berapa banyak air matanya gugur kerana Salim. Namun begitu, makcik tetap menamakan segala harta yang dipunyai ketika hidupnya atas nama Salim. Betapa kasihnya ibu terhadap anak yang dikandung sembilan bulan.

            Ketika seorang demi seorang selesai mencium jenazah. Tibalah giliran si Salim. Aku melihat wajah makcik seakan berkerut saat Salim mencium wajah arwah. MasyaAllah. Di atas dunia lagi Allah sudah menunjukkan kekuasaanNya. Aku beristighfar panjang di dalam hati.


            Malamnya, aku pulang ke rumah. Dan pada malam itulah juga aku didatangi suatu mimpi. Arwah makcik datang menjenguk kami sekeluarga. Beliau memakai pakaian serba putih. Wajah beliau tenang bercahaya. Bilikku yang gelap menjadi terang dek cahaya itu. Arwah datang kepadaku memohon maaf, kerana beliau tidak sempat melakukannya ketika hayatnya. Aku seperti separuh sedar. Agak ketakutan lalu memegang adikku yang tidur di sisi. Selepas iu arwah beredar, masuk ke bilik ayah dan mama. Ku lihat arwah meminta maaf dengan mereka. Kulihat lagi di dalam mimpi tersebut, arwah berjalan. Berjalan dan tetap berjalan. Memohon keampunan kepada setiap insan yang dikenali ketika hayatnya.

            Saat bertemu dengan nenekku, beliau menangis memohon maaf. Mereka berpelukan. Arwah berjalan lagi. Dan tibalah giliran si Salim. Kulihat arwah berhenti. Salim yang maju ke hadapan memohon maaf daripada ibu kandungnya. Tetapi Allah itu maha Kaya, aku melihat arwah memalingkan wajahnya dari anaknya. Subhanallah...takutnya aku ketika itu. Bagaimana mahu diteruskan kehidupan tanpa keampunan ibu. Aku menangis dalam tidur. Salim...Salim...

            Terjaganya dari tidur, aku melihat jam di dinding sudah pukul 4.00 pagi. Sudah hampir untuk bersahur. Aku tidak lena selepas itu. Sewaktu bersahur, aku menceritakan peristiwa itu kepada ayah dan mama. Mereka berkata berkemungkinan mimpiku itu benar. Dan adikku juga mendapat tempias dari mimpiku. Dia berkata dia dapat merasakan seolah-olah ada tangan yang mengusap ubun-ubunnya. Ingin sahaja kuberitahu mimpi itu kepada Salim, mahu melihat bagaimana reaksinya. Semoga arwah makcik ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. InsyaAllah.


Malukah anda jika mempunyai ibu seperti ini? Sanggupkah anda hidup di dunia tanpa keampunan ibu seperti ini? Na’uzubillahiminzalik. Ingatlah, syurga di bawah tapak kaki ibu. Segaris luka di hati ibu kerana kederhakaan, tertutup pintu syurga jika tiada keampunannya...

Wallahu’alam.


P/s: Ini adalah kisah benar yang berlaku kepada seorang sahabat saya tetapi telah diceritakan semula dalam kata ganti diri pertama.

P/s/s: Kasih ibu membawa ke syurga...







0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...