Sabtu, 7 Mei 2011

Bersyukurlah Anda Yang Bergelar Ibu

Saya melihat ramai rakan di FB yang menukar profile picture mereka kepada gambar mak masing-masing hari ini. Kenapa ya? Oh, hari ibu rupanya.

Bukankah setiap hari adalah hari ibu? Ibu perlu diraikan setiap hari. Bukannya perlu tarikh-tarikh tertentu untuk membahagiakan ibu. Ibu wajar dihormati dan dihargai setiap saat, detik dan waktu.

Pernah saya terdengar satu ayat, "kasih si ibu kepada anak tidak akan sama dengan kasih si anak kepada ibu". Mungkin sebab itulah seorang ibu boleh menjaga sepuluh orang anak. Tetapi belum tentu seorang anak yang boleh menjaga seorang ibu.

Anda yang berpeluang menjadi ibu pula, jangan sia-siakan peluang yang diberi. Dengan menjadi ibu, Dia sudah memberikan tiket percuma kepada anda untuk ke syurga. Ini kerana ada wanita yang langsung tidak berpeluang menjadi isteri sepanjang hidup, apatah lagi untuk menjadi seorang ibu.

Teringat saya akan seorang makcik cleaner yang saya kenali semasa praktikal tahun lepas. Umurnya sudah lanjut. Lebih kurang 50-an, jangka saya. Kebiasaannya, ketika habis waktu kerja, saya akan duduk melepak di pantri operation theater (OT). Sementara menunggu sepupu saya tamat tugas di OT, saya selalu melihat makcik tersebut mengemas di pantri tersebut.

Sesekali dia menyapa. Ramah juga orangnya. Penyayang dan sukakan kanak-kanak. Sepupu saya seringkali membawa anak bongsunya ke situ selepas habis waktu tadika. Dan makcik itulah yang tolong menjaganya sehingga selesai pembedahan.


Untuk pengetahuan anda, waktu kerja di OT adalah sangat tak menentu. Setiap kali selesai satu-satu pembedahan, makcik tersebut akan masuk ke kawasan pembedahan untuk mencuci lantai. Adakalanya sehingga pukul 10 malam. Lama-kelamaan, saya dirundung rasa hairan. Inkuiri memuncak-muncak.


"Makcik tak balik lagi?" tegur saya. Ketika itu jam sudah hampir 10.00 malam.

"Hmm. Macam tu lah. Kerja banyak lagi. Operation kat dalam baru nak siap rasanya." balas beliau.

Saya hanya mengangguk faham. "Kenapa makcik sorang je yang kerja kat OT ni? Cleaner lain takde ke?" tanya saya lagi.

"Takde orang sanggup, Siti. Kerja tak menentu macam ni mana ada orang yang nak..."

"Family makcik macam mana? Anak-anak?" pertanyaan demi pertanyaan seakan meluncur laju dari mulut saya. Dibakar oleh inkuiri yang membuak-buak.

"Kita takde anak..." suara makcik itu kendur. Saya rasa bersalah. Saya dapat lihat yang air mukanya yang ceria sebentar tadi tiba-tiba berubah. Ah, makcik. Maafkan saya! Saya tak tahu....


Setelah merisik dari sepupu saya, barulah saya tahu yang makcik tersebut belum pernah berkahwin. Saya menjadi sebak tiba-tiba. Terbayang-bayang lagi wajahnya yang ceria dan matanya bersinar-sinar ketika bermain dengan anak bongsu sepupu saya.

Fahamlah saya kenapa hanya makcik itu saja yang mampu bertahan di situ. Kerana dia keseorangan. Dia tiada siapa-siapa yang akan menunggunya pulang di rumah.

Jadi, kepada anda yang bergelar ibu dan isteri, jangan sedikit pun mengeluh tentang amanah anak-anak yang dipertanggungjawabkan ke atas anda. Jika anda berada di tempat makcik tersebut, apa perasaan anda agak-agaknya?

Dan anda juga yang bergelar anak-anak, jangan sekali-kali melukai hati ibu. Tak cium bau syurga jika anda mati tanpa keampunan beliau. Jangan sekali-kali membantah cakap ibu, di dunia lagi Allah akan bagi 'cash' balasannya seperti pengalaman saya dalam entri ini.




Tiada ibu, tiadalah kita. Berbanggalah anda yang bergelar ibu. Berbanggalah anda yang bergelar anak kepada ibu yang solehah. Bagi anda yang belum menjadi ibu, berlatihlah dari sekarang untuk menjadi ibu yang terbaik. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa ibu kita. Amiin.


P/s: nak jadi seorang ibu yang solehah dan mithali suatu hari nanti.


0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...