Rabu, 23 Mac 2011

Tertegakkah Syariat Islam Di Hospital?

Hati saya berasa sungguh girang kerana berjaya menghabiskan novel 'Denyut Kasih Medik' yang saya beli di sebuah karnival yang berlangsung di kampus beberapa minggu yang lalu. Masa yang agak lama diperuntukkan untuk menghabiskan pembacaan lantaran kesibukan di semester akhir - tesis dan segala macam hal. Namun, Alhamdulillah, pada malam ini saya sudah pun berjaya menghabiskannya.

Jika jawatan Menteri Kesihatan Malaysia itu terletak pada tangan saya, novel ini saya akan wajibkan sebagai bahan bacaan wajib setiap pelajar perubatan dan doktor yang beragama Islam. Bukan apa, supaya doktor-doktor Muslim ini lebih memahami dan prihatin dengan soal ibadah pesakit; yang kadangkalanya diremehkan oleh pesakit. Antara tahu atau tidak tahu. Atau buat-buat tidak tahu.

Sekurang-kurang, golongan ini boleh memberi rawatan 'spiritual' selain daripada rawatan fizikal. Perubatan bukan sahaja pada kesakitan jasmani, rohani juga perlu dirawat.


Terlalu banyak maslahah berkaitan ibadah yang selalu dipandang ringan oleh pesakit ketika berada di hospital. Bukan sahaja di hospital, malah di mana-mana sahaja - ketika kita diuji dengan penyakit.


Beberapa persoalan yang dibawa oleh penulis novel ini tentang masalah yang sering menjadi alasan pesakit di hospital untuk tidak bersolat:


    Beg najis
  • "Pada badan ada beg najis. Bagaimana mahu solat sedangkan najis sentiasa ada? Mana sah solat!" (situasi seorang pesakit yang menjalani prosedur colostomy, di mana sebahagian ususnya dibuang dan najisnya dikeluarkan melalui lubang yang ditebuk pada dinding perut.)




    Branula
  • Branula (jarum untuk IV drip) yang dicucuk pada lengan; kononnya menyukarkan proses berwudhu'. Lantas solat ditinggalkan.




Bukan isu bersolat sahaja, malah banyak isu lain seperti penjagaan aurat bagi pesakit Muslimah, masalah darah wanita, isu perancangan keluarga - pengambilan pil, alat pencegah kehamilan dan sebagainya, dan berbagai-bagai lagi isu yang timbul. Semua ini sungguh menarik hati saya.

Kebanyakkan situasi yang berlaku di atas pernah disaksikan oleh saya sendiri ketika menjalani latihan praktikal di sebuah hospital di pantai timur. Salah satu contoh mudah, isu aurat pesakit wanita Islam. Ketika berpeluang memasuki wad untuk kaum Hawa di hospital tersebut, tetamu yang berkunjung pada waktu melawat terdiri daripada pelbagai bangsa, lapisan umur - dan yang paling membimbangkan; berlainan jantina.

Kelihatan beberapa orang makcik yang sudah berusia memakai hanya anak tudung di kepala. Sekurang-kurangnya dosa memperlihatkan rambut sudah terlepas. Bagaimana pula dengan gadis-gadis muda yang langsung tidak tertutup kepalanya? Saya termenung sendiri.

Tidak kira di mana anda berada walaupun di hospital sekali pun, kewajipan menutup aurat itu tetap menjadi keutamaan. Bersedialah dengan tudung, bimbang kalau-kalau ada pelawat lelaki yang masuk ke dalam wad.

Aurat boleh dipertontonkan kepada lelaki bukan muhrim hanya dalam keadaan tertentu, seperti doktor yang merawat. Itu pun kerana termasuk dalam situasi untuk merawat, takut boleh membawa kemudaratan. Lebih elok, jika terdapat doktor wanita yang memberi rawatan untuk wanita. Dengan itu pesakit akan merasa lebih selesa dan hati pun lebih terjaga.

Isu penggunaan ubat-ubatan yang halal dan sahih kandungannya juga menarik perhatian saya. Timbul isu apabila ada sesetengah ubat yang digunakan di hospital kerajaan mengandungi unsur-unsur yang menimbulkan keraguan - seperti Clexane yang mengandungi protein babi yang digunakan untuk mencairkan darah.

Ah, rasanya penceritaan saya tidak cukup dengan jalan cerita sebenar yang dibawa di dalam novel ini. Bagi anda yang belum membacanya, saya sarankan anda membelinya. Tidak terhad kepada ilmu medikal, malah banyak lagi cerita-cerita menarik yang boleh anda baca di dalam novel ini.

Sesungguhnya Islam itu mudah. Banyak syarat-syarat utama yang dilonggarkan ketika darurat ataupun musafir. Allah itu tidak sesekali akan menyusahkan hambaNya. Semuanya terpulang kepada kita - tepuk dada tanya iman.


0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...