Sabtu, 19 Mac 2011

Kerana Ibu Tidak Redha

Rancangan sebenar saya pada hari ini ialah untuk berjumpa dengan beberapa orang rakan baik saya yang akan bergraduasi pada hari ini di Kampus Kejuruteraan USM di Transkrian, Nibong Tebal. Perancangannya sudah ada seminggu sebelum itu. Siap dengan peta dari Google Maps dan kereta. Maklum sajalah, ini kali pertama saya menjejakkan kaki ke sana.

Perjalanan yang bakal mengambil masa kira-kira 45 minit dari Kampus Induk ke sana, dengan trafik yang tidak dapat diduga. Tambahan pula hari ini hari Sabtu. Bagi anda yang pernah ke Pulau Pinang atau memang tinggal di sini, faham-faham sajalah bagaimana pengguna jalanraya di sini. Saya sebenarnya tidak berapa bimbang untuk memandu di sini kerana saya mendapatkan lesen memandu di sini. Jadi, pengalaman berhadapan dengan trafik yang menggerunkan itu sudah ada.

Semalam, saya menelefon mama. Sekadar memberitahu beliau bahawa saya akan ke sana dengan Aisyah.

"Boleh ke awak bawa kereta tu...ma tak berapa nak haraplah..."

 Saya pun berusaha memujuk mama. Ya, memang tangan ini sudah lama tidak memegang stereng kereta. Kali terakhir ialah ketika saya menjalani latihan praktikal di Hospital Kuala Krai, Kelantan yang berakhir pada bulan Julai tahun lepas. Berbual panjang, saya perasan nada suara saya sedikit lain macam dari biasa apabila mama seakan tidak membenarkan saya ke sana.

"Eh, kenapa dengan aku ni? Kenapa cakap dengan mama macam ni?" monolog saya dalam hati.

Saya bimbang mama terasa. Dan saya tahu beliau tidak redha dengan saya untuk ke seberang. Perjalanan itu agak jauh dan lagipun saya sudah lama tidak memandu, katanya. Akhirnya, beliau mengalah mendengar saya memujuk bertubi-tubi dan menyuruh saya memandu elok-elok. Saya tidur dalam keadaan tidak sedap hati dan berdebar-debar. Agak sukar untuk melelapkan mata. Hati saya gusar.

Bangkitnya dari tidur dan menunaikan solat Subuh pagi ini, saya berdoa agar perjalanan dilancarkan tanpa sebarang masalah. Melihat jam meja sudah pukul 8.00 pagi, saya menelefon pakcik yang akan menghantarkan kereta kepada saya. Janjinya pukul 8.00, tetapi tidak muncul-muncul lagi.

"Your number that you have dialed is not reachable. Please try again."

Ah, macam mana ni? Saya risau. Saya SMS Aisyah. Berusaha untuk dapatkan kereta lain. Malangnya hari ini hari Sabtu, dan semuanya telah penuh. Fully booked. Akhirnya saya mengalah. Allah memang tak bagi saya keluar hari ini. Lantas saya teringat peristiwa semalam.

Benarlah, redha seorang ibu itu amat penting. Sekali hatinya terguris, anda akan dapat rasa kesannya. Itu pengalaman saya setiap kali saya buat silap dengan beliau.


Peta yang saya cari dalam Google Maps. Sekarang ni senang betul. Nak pergi mana-mana search dulu dan print. Kalau banyak duit, pakai je GPS. Pernah tengok sepupu saya guna GPS dalam Nokia Ovi beliau. Jeles!





P/s: moral of the story, jagalah hati ibu anda. Dialah syurga anda untuk selama-lamanya.

P/s/s: lepas tulis entri ni, rasa nak menangis pun ada. I'm sorry, mum. T__T

P/s/s/s: saya kena jejakkan kaki ke Transkrian sebelum konvo.








0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...