Ahad, 3 April 2011

Seronokkah Menjadi Genius?

Hari ini, saya terbaca satu artikel di dailymail.com, mengenai seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang dikatakan telah memformulasikan semula teori relativiti yang diperkenalkan oleh sainstis yahudi, Albert Einstein. Dikenali sebagai Jacob Barnett, kanak-kanak tersebut dilahirkan autisme, tetapi telah dikurniakan kebolehan luar biasa dalam bidang matematik dan astrofizik.


Jacob Barnett, 12


Memformulasikan semula teori relativiti itu adalah sesuatu yang saya tunggu-tunggu selama ini. Saya tidak tahu kenapa, tetapi seseorang harus memecah tradisi teori Einstein. Pakcik Einstein ini bukan sahaja terkenal dengan teori relativiti, malah banyak lagi bidang lain. Bidangnya banyak tertumpu ke arah kejuruteraan elektrik.


Termasuklah photoelectric effect, yang melayakkannya mendapat anugerah Nobel. Postulate yang dikemukakan oleh Einstein yang saya pernah belajar di dalam kelas, kebanyakkannya berbentuk fizik klasik dan 'atas angin'. Memanglah ia mampu mengenepikan konsep Galilean-Newtonian tentang masa dan ruang mutlak, tetapi ianya sungguh membosankan. Oh maaf, saya terlari tajuk.





Pernah dengar tentang novel Faisal Tehrani yang bertajuk Detektif Indigo? Jalan ceritanya berkisar di sekeliling suasana sekolah kanak-kanak genius, yang mempunyai IQ yang melebihi 120. Apa yang seronoknya tentang budak-budak genius ni?

Jika anda berusia 12 tahun dan mempunyai fikiran seorang profesor fizik atau matematik (atau apa-apa bidang lain) di universiti yang berusia 55 tahun, anda tidaklah dipanggil genius sebenarnya. Ianya hanyalah suatu kebolehan. Kebolehan yang luar biasa kerana umur anda. Itu sahaja.

Genius dalam erti kata sebenar ialah - anda mampu mengubah, mencipta atau memperkenalkan sesuatu di dalam lingkungan umur anda jauh lebih muda berbanding orang biasa. 

Contohnya, anda berjaya mencipta mesin semua-dalam-satu; membasuh, mengering, menggosok dan melipat pakaian pada usia 10 tahun. Anda memang genius! Sila patenkan idea anda supaya tidak dicuri oleh orang lain. Dan saya sungguh berminat dengan hasil rekaan anda - kerana saya terlampau 'rajin' untuk melipat baju.

Genius juga tidak terhad kepada bidang sains. Jika anda mampu menghasilkan lukisan yang lebih bagus daripada Leonardo da Vinci, dan anda berumur 10 tahun, anda juga genius.

Kegeniusan boleh berpunca daripada banyak faktor. Namun begitu, kebanyakkan latar belakang kanak-kanak genius ini tidaklah dilahirkan oleh ibu bapa yang bijak (walaupun ada segelintirnya begitu). Jika anda rasa anda dilahirkan bijak (tetapi bukan genius), sila semak semula pokok keluarga anda. 

Tidak semua yang bijak seperti anda. Anda hanyalah insan terpilih yang dikurniakan dengan jumlah kepandaian yang lebih sedikit daripada orang lain. Ataupun memang anda berusaha, jadi anda lebih pandai. Konsepnya mudah.

Saya tertarik dengan isu kegeniusan ini sejak kecil. Saya juga tertanya-tanya, apakah saya genius? Bolehkah saya menjadi genius? Dan macam-macam lagi. IQ saya berubah-ubah setiap kali saya melakukan ujian IQ. Kadang-kadang 95, kadang-kadang 107. Dalam graf taburan normal, tahap IQ purata bagi manusia normal yang tahapnya biasa-biasa seperti saya ialah lebih kurang 93-120. Oh, saya normal rupanya. Bukanlah genius. Tetapi berangan untuk menjadi genius.

Ah, seronokkah menjadi genius di Malaysia (maaf, saya terpaksa katakan ini)? Lihat saja kanak-kanak genius yang pada awal 'penemuan' mereka. Liputan media seluas-luas alam. Dan kemudian, senyap. Malaysia tiada sekolah khusus untuk menempatkan anak-anak istimewa seperti ini, tidak seperti negara luar.

Ya, persatuan seperti Mensa memanglah ada. Tetapi fasiliti tertentu dengan model pendidikan yang selaras dengan tahap kecerdasan kanak-kanak tersebut masih belum ada. Saya mengimpikan sebuah institusi seperti yang diilhamkan oleh Faisal Tehrani di dalam Detektif Indigo. Kemungkinan ini boleh menjadi 'senjata rahsia' negara - kepakaran daripada kita dan milik kita sendiri.

Sebenarnya, jumlah kanak-kanak berkebolehan dengan IQ yang tinggi ini mungkin ramai sahaja di Malaysia. Siapa tahu mungkin mereka dilahirkan di dalam keluarga yang miskin melarat, di pedalaman.

Bagi saya, genius memanglah membanggakan. Terutamanya jika anda adalah ibu bapa kanak-kanak tersebut. Namun saya terfikir, anda berusia 10 tahun, mempunyai otak profesor fizik berumur 55 tahun. Anda juga perlu bermain seperti kanak-kanak lain. 

Sebagai contoh, anda melihat permainan teng-teng. Kanak-kanak biasa mungkin mempunyai satu atau dua cara untuk memainkannya. Tetapi, otak anda melihatnya dengan dimensi yang berbeza - dan pada pandangan anda; itu bukan teng-teng. Anda ada beratus-ratus jenis idea lain untuk memainkan teng-teng. Ini kerana, anda cepat bosan dengan satu arahan sahaja.

Genius dan bijak itu sebenarnya boleh dipupuk. Galakkan minat anak-anak anda sejak kecil lagi. Perhatikan bidang kecenderungannya. Jika dia meminati sains, berikan bahan-bahan bacaan berunsurkan sains yang santai ataupun program televisyen yang sesuai. Begitulah sebaliknya dalam bidang-bidang yang lain.

Jadi, mahu jadi genius? Jika anda dilahirkan begitu, bersyukurlah. Kerana anda adalah senjata istimewa. Namun harus diingat, kegeniusan boleh berkurangan dengan bertambahnya usia dan jika tidak dijaga.



P/s: teringat Sufiah Yusuf. Genius yang tragis.




0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...