Jumaat, 29 April 2011

Ubat Sakit Jiwa Dan Hati Yang Paling Mujarab

Lewat petang kelmarin, saya masih berada di dalam bas untuk pulang ke desasiswa dari pusat pengajian. Saya mengerling ke tempat duduk sebelah. Selang satu kerusi. Kelihatan seorang pelajar antarabangsa berkulit gelap, membuka Al-Quran untuk menghabiskan masa yang mengalir sia-sia di dalam bas. Ah, luaran mungkin kelam. Namun di hatinya, siapa tahu, penuh dengan nur. Sehingga terpancar ke wajahnya. Hati jadi sejuk. Saya senyum sendiri.

Teringat suasana Ramadhan. Terasa betul imarahnya bulan Mubarak tersebut. Pemandangan manusia-manusia yang sedang keletihan berpuasa dengan Al-Quran di tangan. Itu di Malaysia. Rasanya kalau di tanah Arab suasana sebegini barangkali di mana-mana dan sepanjang tahun. Di dalam keretapi, di dalam bas, di rumah Allah apatah lagi.

Dalam hidup seorang perempuan, akan tiba suatu ketika di dalam setiap bulan, suatu minggu yang agak 'mengacau-bilaukan' jiwa dan hati. Dan di ketika inilah, tabiat makan mereka akan bertukar kepada karnivor sepenuh masa. Rasa mahu makan dan menelan orang, walaupun perkara yang dialami tidaklah seserius mana.


Saya juga tidak pernah terkecuali dengan mood 'karnivor' ini. Ketika inilah, Al-Quran sangat-sangat diperlukan. Tetapi walaupun anda tidak boleh membaca Al-Quran, mendengar bacaannya pun sudah cukup menenangkan jiwa.

Nafsu amarah adalah salah satu penyakit hati dan jiwa. Jika anda gagal mengawalnya, baik anda lelaki sekalipun, anda boleh bertukar kepada spesies karnivor yang saya sebut di atas.

Oleh itu, bukalah Al-Quran. InsyaAllah marah yang menggila itu akan padam begitu saja.

Timbul rasa iri di hati kerana saya masih belum mampu untuk mempraktikkan bacaan kitab suci itu di masa-masa senggang. Bukan hanya pengisi antara maghrib dan isya'. Betul, Al-Quran memang ubat yang mujarab untuk jiwa yang sedang kacau. Al-Quran adalah sumber motivasi terbaik. Al-Quran ubat penenang yang paling senang diperolehi. 







0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...