Khamis, 2 Februari 2012

Substansi Cinta

[Prolog] Ketika mengharungi hari-hari terakhir zaman persekolahan rendah, saya dikejutkan dengan sepucuk sampul surat. Kad raya rupanya.

Almaklumlah, masa budak-budak dulu, tradisi memberi kad raya memang masih kuat dan saya sendiri masih mengirim sepucuk dua kad raya kepada rakan-rakan lama sebelum berpindah ke rumah baru.

Tetapi ternyata, kad raya itu agak 'unik' dan pelik. Sebaik sahaja saya membuka sampul surat, saya mendapati kad raya tersebut telah digam. Jelaslah saya tidak boleh membuka kad itu untuk membaca isi dalamnya.

"Oh, dia tersalah tulis kot. Sebab tu dia gamkan." Itu fikir saya. Tindakan saya hanya terhenti di situ, memandangkan saya sudah memahami maksud si pengirim ingin mengucapkan selamat hari raya kepada saya. Lantas, saya hanya membiarkan kad tersebut di atas meja belajar tanpa berfikir yang pelik-pelik.

Tidak lama kemudian, saya terdengar bunyi bising-bising dari atas. Abang sudah tergelak separuh mati ketawakan saya. Kad raya yang digam tersebut dibuka oleh abang. Rupa-rupanya disebalik kad raya yang digam tersebut, bukanlah ucapan hari raya, tetapi ucapan 'I Love You' yang memenuhi ruang kad tersebut! Siap dengan lukisan-lukisan berbentuk hati pula tu!

Saya menangis serta-merta. Bukan menangis terharu kerana ucapan cinta monyet tersebut, tetapi menangis malu kerana diusik oleh abang. Jika bukan kerana abang, sampai mati pun saya tak tahu yang ada orang yang membuat 'love-confession' kepada saya. Haha.


Surat cinta manusia

Sengaja saya beri contoh di atas. Supaya kita nampak bahawa betapa kreatifnya kita dalam berkasih sayang sesama manusia. Kita senang meluahkan dan melafazkan kasih sayang kita dengan cara yang berbeza-beza. Tidak kiralah sayang ibu bapa, sayang adik-beradik atau sayang kepada kekasih hati. Masing-masing ada cara yang tersendiri. Tidak boleh tidak, kita tidak akan pernah boleh menafikan keperluan lahiriah dan batiniah untuk berkasih sayang.

Suka saya mengklasifikasikan sebagai perbuatan berkasih sayang sesama manusia sebagai satu istilah iaitu - memberi-surat-cinta. Memberi-surat-cinta bererti menyebarkan kasih sayang kepada sesiapa sahaja yang kita mahu dengan menggunakan apa sahaja cara yang kita suka (selagi ia tidak bertentangan dengan syariat).

Zaman sekarang ada bermacam cara untuk memberi-surat-cinta. Paling mudah SMS. Paling tidak instant messaging di YM, MSN ataupun FB. Pilih saja, mana yang berkenan. Sehari senyap, jiwa rasa bagai nak gila. Itu baru sehari, kalau putus cinta? Tidak hairan ramai yang sanggup ambil nyawa sendiri.

Dalam erti kata lain, ianya adalah salah satu ikhtiar untuk kita mengekalkan substansi cinta (love substantial) kita kepada manusia. Perkataan substansi secara literal bermaksud; keteguhan. Saya tertegun dengan dua perkataan ini (iaitu substansi cinta) ketika membaca buku tulisan Dr. 'Aidh Abdullah Al-Qorni yang bertajuk 'Panduan Mencari Rezeki Halal' terbitan Pustaka Al-Shafa.


Surat Cinta Allah, Bagaimana?

Sewaktu kecil (lingkungan 7-8 tahun begitu), pernah ada seorang rakan memberitahu saya.

"Sekarang tak susah lagi, Allah dah ada nombor telefon." ujar beliau. Saya teruja. Wah!

"Apa dia? Cepatlah bagi. Balik sekolah nanti boleh saya telefon." balas saya tidak sabar.

"Senang je. 24434."

Pulang saja dari sekolah, saya terus mencapai gagang telefon dan menelefon. Saya ingin bercakap dengan Allah. Saya ingin mendengar 'suara' Allah. Namun senyap sahaja. Senyap. Dan senyap. Akhirnya saya meletakkan gagang telefon.

Apabila dewasa, barulah saya tahu di sebalik 24434. 2 untuk 2 rakaat solat Subuh, 4 untuk 4 rakaat solat Zuhur, 4 untuk 4 rakaat solat Asar, 3 untuk 3 rakaat solat Maghrib dan 4 untuk 4 rakaat solat Isya'.

Saya akui, manusia sememangnya manusia. Manusia suka melihat benda yang nyata di hadapan mereka. Samalah seperti mereka ingin meluahkan sesuatu perasaan kepada orang lain. Mereka memerlukan medium untuk menyampaikan cinta mereka. Seperti dalam kes saya-yang-kecik tadi, mahu menelefon Allah katanya.

Sumber
Untunglah umat Islam. Kita tidak perlu membina patung Tuhan yang besar-besar. Kita tidak perlu menyakiti diri kita sendiri sebagai tanda cinta kita kepada Dia. Kita tidak perlu tempat yang khusus untuk menyembah Dia.

Tanpa apa-apa medium, tadah saja tangan. Mintalah kepada Dia. Luahlah kepada dia. Tunjukkanlah substansi cinta kita kepada Dia. Tetapi tidak ramai yang suka meluahkan cinta kepada Dia. Kita lebih suka apa yang kita nampak dengan mata kasar kita.




Epilog

Dalam sebuah riwayat disebutkan bahawa pada suatu hari Nabi Ibrahim 'alaihissalam didatangi oleh malaikat Izrail yang hendak mencabut nyawanya. Maka beliau berkata;

"Apakah seorang teman tega mencabut nyawa temannya?"

Kemudian, Allah S.W.T mewahyukan kepadanya;

"Apakah ada seorang kekasih yang enggan bertemu dengan kekasihnya?"

Beliau lalu berkata, "Wahai malaikat pencabut nyawa, cabutlah nyawaku."

Saya petik kisah ini dalam buku yang saya nyatakan di atas. Terkesan sungguh di hati. Sebagai penutup, kita hanya mungkin nampak sayangnya Allah kepada kita dalam bentuk rezeki semata-mata, tetapi ia juga boleh mendatangi kita dalam bentuk musibah.

Semoga usaha kita hari ini untuk menguatkan substansi cinta kepada Dia lebih bagus daripada semalam. Mulakan dengan bersolat di awal waktu (strictly pesanan untuk diri saya sendiri). Sepanjang masa kita boleh 'telefon Allah'. 'Telefon' Allah dulu sebelum kita telefon mereka-mereka yang lain. InsyaAllah! :)




0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...