Sabtu, 9 Januari 2016

Secebis Za'ba

Bismillahirrahmanirraheem ~

"Demikianlah orang yang merdeheka hati dan berhemah tinggi, sentiasa bergantung kepada dirinya sendiri walaupun masa ia masih budak lagi.

        Kebanyakan budak-budak dari masa kecilnya pun lagi sudah ada nampak bakat perasaan hendak bersendiri dan bergantung kepada kebolehan diri sendiri itu. Jika ia sudah mulai tahu berjalan umpamanya, ia suka hendak berjalan sendiri sahaja, tidak suka didukung atau dipegang-pegangkan tangannya oleh orang kerana hendak memelihara jangan ia jatuh, kecuali jika ia sudah penat. Maka kecenderungan demikian, sayugialah ditanam dan dilatihkan pada mereka. Misalnya jika budak itu jatuh yang tiada parah, maka tak usahlah dibangunkan, diambil, digosok, dipujuk dan sebagainya; biarkan dia sehingga ia bangun sendiri dan diam daripada menangisnya itu sendiri.

        Walhasil kita sangat-sangatlah berhajat mesti menggalakkan perangai bergantung kepada diri sendiri ini mulai dilatihkan diri masa budak-budak pun lagi. Anak-anak mestilah dilatih perlahan-lahan membiasakan dirinya tahu membuat apa-apa sendiri, tahu berusaha sendiri, tahu berikhtiar sendiri, tahu berfikir sendiri, tahu menimbang sendiri, tahu menyelenggara dan memutuskan apa-apa halnya sendiri - hingga akhirnya tahu bersendiri dan merdeheka pada segala hal-ehwal yang berhubung dengan dirinya sendiri. Adapun jika pada orang yang sudah besar, yang tidak ada atau yang telah hilang daripadanya perangai bersendiri dan sifat merdeheka diri itu, kita wajib mengikhtiarkan dengan segala daya upaya supaya perangai itu hidup semula dan kembali padanya. Kerana faedahnya perangai ini amat besar bagi membantu kemajuan diri seseorang, dan dari situ kepada sesuatu bangsa yang terjadi daripadanya kumpulan tiap-tiap seorang itu."

[Petikan asal daripada buku "Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri", mukasurat 22]
[Tulisan Pendita Za'ba, Cetakan 1982.]


Buku ini halus tulisannya. Saya belum habis baca. Baru bab keempat. Namun ada sesuatu di mukasurat ini yang menjentik minda saya. Apa yang saya dapat rumuskan berdasarkan fenomena zaman sekarang:

1. Jangan terlalu manjakan (baca: spoil) anak-anak kita sehingga mereka sukar untuk berdikari. Benarkan mereka merasai kesusahan dan erti kehidupan sebenar. Agak menjelekkan dengan budaya zaman kini bila mana budaya "Saya-benci-saya-viral" semakin menjadi-jadi.
2. Sifat berusaha sendiri tanpa mengharapkan bantuan orang lain untuk berjaya mesti dimulakan dari rumah; iaitu ibu dan bapa.
3. Untuk menjadi bangsa yang berjaya, harus bangkit dengan usaha sendiri. Jangan terlalu mengharap keistimewaan, kuota dan bantuan. Namun, kepincangan dan penyelewengan pemimpin yang terang lagikan bersuluh tidak boleh dibutakan mata dan pekakkan telinga.
4. Perlu berani dan kadangkala agresif dalam mencari ilmu dan kebenaran. Tidak hanya mendengar sesuatu tanpa menyelidiki ia terlebih dahulu.


Entri serius untuk permulaan tahun 2016 yang suram dan kelam, dari segi ekonomi dan sosio-politik semasa. 


0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...