Ahad, 2 Disember 2012

Lagenda Urban: Benzene Dalam Kereta

Bismillahirrahmanirraheem.

Sumber
Saya tersenyum ketika membaca satu wall post oleh rakan sekolah di FB baru-baru ini mengenai perihal benzene yang terhasil daripada dashboard kereta. Anda tahulah sendiri, trend di FB bagaimana. Ramai yang memuliakan sifat Rasulullah sallalahu'alaihi wasallam dalam aspek menyampaikan dan menyebarkan ilmu. Hanya dengan satu klik, nah, 523 rakan FB anda siap menerima info yang dimaksudkan.

Namun, tidak ramai yang mencontohi sifat Baginda yang dua ini; siddiq (membenarkan) dan fathonah (kebijaksanaan). Tidak ramai yang mempunyai daya inkuiri dan sifat ingin tahu yang tinggi untuk mengetahui - apakah benar berita yang dibawa ini?

Okey, mari kita lihat post asal yang disebarkan di FB.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
PENGUMUMAN PENTING : PERLU DISEBARKAN!

JANGAN Hidupkan Penghawa Dingin Sebaik Menaiki Kereta!: Harap dapat berkongsi dengan sahabat anda yang lain.

Bukalah tingkap terlebih dahulu sebaik memasuki kereta anda dan jangan sama sekali menghidupkan penghawa dingin. Berpandukan kepada kajian yang dijalankan, dashboard, sofa, pewangi udara menghasilkan Benzene, sejenis toksin yang menyebabkan kanser (carcinogen – ia dapat dikenalpasti melalui bau yang terhasil dari haba bahan plastik di dalam kereta). Disamping menyebabkab kanser, ia juga bertindak sebagai racun bagi tulang, menyebabkan anemia dan mengurangkan sel darah putih. Tindakan ini jika dibiar berlarutan akan menyebabkan Leukemia, meningkatkan risiko menghadapi kanser di samping punca keguguran.





Kadar pendedahan Benzene yang dibenarkan ialah 50 mg bagi setiap kaki persegi. Kereta jika difikir di kawasan berbumbung dengan tingkap tertutup menghasilkan 400-800 mg Benzene. Jika dibiarkan dikawasan yang terdedah dengan tingkap yang tertutup pada suhu 60 darjah fahrenheit, tahap Benzene boleh meningkkat sehingga 2000-4000 mg, iaitu 40 kali dari tahap yang dibenarkan.. . dan penumpang di dalamnya akan menyedut toksik yang berlebih2an secara tidak sedar.

Cara yang dicadangkan untuk mengelakkan perkara ini daripada berterusan ialah dengan membuka tingkap dan pintu terlebih dahulu untuk memberi udara di dalam beredar keluar. Benzene adalah sejenis toksik yang boleh mencemar buah pinggang dan hati, dan sukar pula bagi tubuh manusia untuk menyahkeluarkan toksik tersebut apabila sudah memasuki tubuh kita…



P/s : jika anda sayangkan keluarga & rakan-rakan anda , Jangan malu-malu untuk share, copy paste kerana info ini milik kita semua.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Dari segi medikal, saya malas mengulas panjang. Saya pecahkan isu ini kepada 3 bahagian:

Pertama, kebenaran fakta yang saya bold kan dalam post di atas. Kedua, kajian sebenar tentang kes ini. Dan yang ketiga, apa yang boleh kita lakukan untuk meminimumkan kesan bahan kimia dalam kehidupan seharian.


Fakta atau auta?


Fakta #1:

"Dashboard, sofa, pewangi udara menghasilkan benzene, sejenis toksin yang menyebabkan yang menyebabkan kanser (karsinogen - ia dapat dikenalpasti melalui bau yang terhasil dari haba bahan plastik di dalam kereta."

Benzene sejenis toksin: literally, salah.
Menyebabkan kanser: betul
Dapat dikenalpasti melalui bau dari haba bahan plastik: ada kemungkinan.

Benzene bukan sejenis toksin. Ayat yang betul ialah; benzene adalah sejenis bahan kimia yang biasanya digunakan sebagai pelarut industri. Ia juga merupakan salah satu komponen asas dalam minyak mentah. Tetapi, penggunaannya amat dihadkan bagi keperluan bukan industri kerana ianya karsinogenik dan amat toksik.

Sumber
Rasanya, itulah ayat sains yang paling senang nak faham saya rasa. Mungkin untuk non-science people (even for non-chemist professionals); mereka dengan mudahnya akan menyimpulkan semua bahan kimia itu merbahaya, toksik dan evil (evil ni ayat saya je. haha).

Kebarangkalian untuk benzene terhasil akibat tindakbalas haba adalah mungkin - cuma kita tidak tahu berapa banyak. Dashboard diperbuat daripada plastik dan sofa daripada fabrik sintetik. Kemungkinan besar benzene digunakan sebagai bahan pelarut semasa proses pembuatannya. Sedikit sebanyak benzene mungkin akan terbebas ke udara sebagai off-gas semasa cuaca panas.




Fakta #2:

"Kadar pendedahan benzene yang dibenarkan ialah 50 mg bagi setiap kaki persegi. Kereta jika difikir di kawasan berbumbung dengan tingkap tertutup menghasilkan 400-800 mg Benzene. Jika dibiarkan dikawasan yang terdedah dengan tingkap yang tertutup pada suhu 60 darjah fahrenheit, tahap Benzene boleh meningkat sehingga 2000-4000 mg, iaitu 40 kali dari tahap yang dibenarkan."

  • Kadar pendedahan benzene yang dibenarkan ialah 50mg bagi setiap kaki persegi : mungkin mereka (penulis kenyataan tersebut) maksudkan dengan mg per kaki padu? Kalau dinilai dari segi unit pun sudah meragukan.
Kaki persegi (square foot, sq ft) adalah unit yang digunakan untuk menentukan luas sesuatu   permukaan, bukannya isipadu ruang. Saya percaya, maksud penulis ialah benzene vapor (wap benzene) yang terbebas - semestinya dalam bentuk gas! Gas bersifat memenuhi ruang, jadi aplikasi unit kaki padu (cubic foot, ft3) ataupun meter padu (m3) adalah lebih relevan.
Kadar pendedahan yang dibenarkan oleh OSHA ialah 50 ppm (boleh rujuk sini).
*50 ppm =  50 mg/L

  • Kereta jika difikir (diparkir?) di kawasan berbumbung dengan tingkap tertutup menghasilkan 400 - 800 mg benzene : Sebenarnya memang dah ada research orang buat pasal benda ni dan research paper tersebut sudah diterbitkan dalam jurnal American Chemical Society (ACS) pada tahun 2007. Saya akan ulas secara mendalam pasal ni dalam subtopik 'kajian kes' di bawah.

  • Kawasan terdedah dengan tingkap tertutup pada suhu 60°F : nampak benar menipunya. Haha. 60°F bersamaan dengan 15°C. Dekat Cameron Highlands pun tak boleh nak capai 15°C dah sekarang pada waktu siang. Apatah lagi jika rata-rata kita ni hidup di kawasan yang lebih rendah berbanding Cameron Highlands.
Namun, saya tidak menolak kemungkinan bahawa benzene yang terbebas ke udara seperti yang diperkatakan bukanlah benzene tulen. Ianya mungkin 'anak-beranak' atau bahasa formalnya derivatives kepada benzene seperti yang dipaparkan dalam gambar rajah di bawah. Takat didih benzene adalah 80.1°C,  suatu suhu yang mustahil untuk dicapai oleh iklim bumi (kat bulan mungkin ya. haha). Derivatives kepada benzene mungkin mempunyai takat didih yang lebih rendah berbanding benzene tulen.





Kajian kes (Case study)

Dalam satu kajian yang bertajuk 'Toxicity of Parked Motor Vehicle Indoor Air' yang dijalankan pada tahun 2007 oleh sekumpulan penyelidik dari Technical University Munich, Jerman menyimpulkan bahawa udara di dalam kenderaan bermotor yang diparkir menunjukkan tiada kesan yang nyata terhadap kesihatan.

Bahagian dalam kereta diperbuat daripada pelbagai bahan sintetik, di mana ianya akan membebaskan bahan organik yang mudah meruap (volatile organic compound, VOC). Dengan menggunakan dua buah kenderaan baru dan lama (sudah digunakan selama 3 tahun), mereka mendapati 10.9 mg/m3 VOC di dalam kenderaan baru dan 1.2 mg/m3 VOC di dalam kenderaan lama.

VOC yang terdapat di dalam kenderaan baru dan lama tersebut termasuklah o,m,p-xylene, toluene, acetone, alkylbenzene dan sebagainya; di mana mereka semua adalah derivatives kepada benzene.


Inilah kesimpulannya
























Masih rasa bimbang, bagaimana?

Kalau anda masih rasa bimbang, tak salah jika amalkan buka tingkap dahulu ketika memanaskan enjin. Selepas 2-3 minit perjalanan bermula, barulah buka penghawa dingin. Safety first!








0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...