Ahad, 16 Januari 2011

Andakah Bakal Ibu Bapa Yang Berkualiti Itu?

Seharian saya bermukim di perpustakaan hari ini bagi mencari idea menyiapkan tesis. Niat di hati ingin menyambung perjuangan. Malangnya, badan sudah memberi isyarat,

'Cukuplah untuk hari ni, penat sangat dah ni.'

Setelah menjadi sleeping beauty untuk beberapa jam tadi, mata terasa segar. Benak dan hati teringin berkongsi sesuatu.

Ketika Ramadhan yang lalu, saya telah diundang oleh pensyarah saya bersama ahli research team yang lain untuk berbuka puasa di rumahnya. Tetamu undangannya ternyata bukan kami sahaja, malahan ramai lagi. Yang pastinya, lebih ramai muslimin berbanding muslimah yang dijemput. Sahabat-handai dan student beliau barangkali, fikir saya.

Sementelah menunggu perut masing-masing lega, maka berboraklah mereka sekaliannya. Tiba-tiba, terkeluarlah isu jodoh. Kata pensyarah saya,

"Daripada aku tanggung dosa, lebih baik aku kahwin"

Beliau menceritakan pengalamannya berkahwin ketika belajar. Waktu itu beliau masih lagi menuntut di US. Katanya, ada suara-suara sumbang yang sinis menegur saat mengetahui beliau sudah berkahwin.

"Kau ni, dah habis belajar ke belum?" kata seseorang. Gayanya orang itu seperti lebih berusia daripada pensyarah saya.
 "Belum." kata beliau.

"Habis tu, macam mana kau nak tanggung anak bini kau?"

"Pandai kahwin, pandailah cari rezeki. Pintu rezeki tu ada banyak. Bukannya takde cara," balas beliau, tegas.


Saya terkedu mendengar kata-kata beliau. Nyatalah beliau seorang yang sangat bertanggungjawab dan mempunyai matlamat yang jelas dalam hidupnya. Betapa bertuahnya isterinya mendapat seorang teman hidup yang kental seperti beliau.

Malah, kedua-duanya cukup sepadan. Isterinya cukup solehah, sangat menyejukkan mata yang memandang. Anak-anak juga comel-comel. Hati saya berbunga kagum tidak terperi. Inilah yang dinamakan jodoh. Allah memang menentukan yang terbaik untuk hamba-Nya.



Pernah dengar kata-kata ini?

'Pasangan anda adalah cermin bagi diri anda. Refleksi.'

Saya banyak membuat pemerhatian dek kata-kata ini. Setiap peristiwa yang berlaku dalam hidup saya, akan saya rumuskan dan simpulkan. Pengajaran di sebalik peristiwa dan pemerhatian itu saya jadikan prinsip hidup dan kongsikan dengan orang lain.

Jika kita hari ini begini, begini dan begini, maka begitulah juga pasangan kita. Begitu, begitu dan begitulah juga. Dari segi corak pemikiran juga tidak akan lari jauh. Ini pemerhatian saya terhadap kedua-dua ibu bapa saya. Mungkin itulah kata orang, keserasian.

Persamaan itu penting. Tetapi perbezaan juga penting. Dengan adanya perbezaan, kita akan mencari jalan untuk saling melengkapi perbezaan-perbezaan yang ada.

Sekiranya sudah sampai seru untuk berkahwin, maka berkahwinlah. Jangan sulitkan perkara yang mudah lagi sunnah. Usahkan diikutkan sangat adat-adat yang menyusahkan. Lagi-lagi kata-kata orang disekeliling.

Majlis perkahwinan hanyalah pintu. Jika berkat di permulaannya, maka mudah-mudahan berkatlah sehingga ke penghujungnya, dan cemerlanglah segala zuriat yang menjadi penyambung generasi.

Muslim dan muslimah yang berkualiti itu kebiasaannya datang dari ibu bapa yang hebat dan berkualiti.





Bakal ibu bapa yang berkualiti tidak akan membazirkan masa dengan bergayut berjam-jam sehari dengan kekasih.


Bakal ibu bapa yang berkualiti tidak akan merayau tak tentu hala dan masa.

Bakal ibu bapa yang berkualiti akan sentiasa memperbaiki kelemahan, ilmu dan iman.

Bakal ibu bapa yang berkualiti akan menjaga nama baik kedua-dua ibu bapa mereka selagi belum berkahwin.




Andakah bakal ibu bapa yang berkualiti itu? Jika ya, seinfiniti tahniah kepada bakal anak-anak anda kerana bakal mempunyai ibu bapa yang terbaik di dunia, dan di akhirat insyaAllah.


0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...