Ahad, 13 Februari 2011

Imannya Runtuh Kerana Aku

Mempunyai akaun Facebook pada masa kini adalah sesuatu yang perlu bagi kebanyakkan orang. Malah Suri juga begitu. Namun baginya Facebook bukanlah keutamaan baginya. Sekadar mengetahui perkembangan semasa keluarga dan rakan-rakan lama. Tambahan pula yang jauh di perantauan. Maka, Facebook adalah medium yang praktikal untuk berhubung.

Suri, seorang muslimah yang tahu batas agama dan hukum-hakam. Dia cukup menjaga aurat dan batas pergaulannya. Namun kekhilafan yang dilakukannya suatu hari, menyebabkan dia berasa sungguh kesal. Dan dia yakin, dia juga mempunyai saham terhadap dosa tersebut.


Mungkin nampak remeh bagi orang lain, tetapi tidak bagi dia. Alkisahnya, dia telah meletakkan satu gambar di profile picture Facebooknya. Baginya nampak biasa-biasa, namun dia tidak menyedari bahawa ramai jejaka-jejaka di alam maya tersebut yang 'mengintai'nya dalam diam. Gambar yang diletakkannya memang cukup muslimah dan menutup aurat. Suri fikir, dia tidaklah secantik mana. Jadi, kadar untuk di 'ngorat' oleh jejaka-jejaka adalah rendah.

Suatu hari, datang seorang pemuda. Fahri namanya. Fahri mengenali Suri melalui Facebook seorang juniornya semasa di kolej. Pertama kali memandang wajah Suri di profile picturenya, terdetik di benaknya, 'Ah, sungguh menyejukkan mata!'

Lantas, Fahri mencuba nasib. 'Perempuan itu perempuan yang baik-baik,' getus hatinya. Niatnya bukanlah apa. Sekadar menambahkan kenalan di kalangan orang yang baik-baik. Seperti Suri.

Suri melihat ada notification di wallnya. 'Eh, ada friend request!'

Suri meneliti profil Fahri. First impression Suri terhadap Fahri, Fahri ini orang baik-baik. Dilihat lagi profil beberapa orang rakan Fahri. Ya, semuanya baik-baik. Suri tanpa berfikir panjang menekan butang approve.

Selang beberapa hari kemudian, Suri mendapat friend request oleh Fahri di YM pula. Suri approve sahaja.

Fahri menghulurkan salam perkenalan. Suri menyambut baik. Setelah berborak panjang di YM, Suri mengetahui bahawa Fahri memegang jawatan tertinggi dalam persatuan mahasiswa Islam di IPTnya. Ini menambahkan ke'respek'kan Suri terhadapnya. Namun ianya tidak bertahan lama. Tidak sampai 3 hari berkenalan di alam maya, Fahri meminta nombor telefon bimbitnya.

Memang Suri pantang memberikan nombor telefonnya kepada orang yang tidak dikenali. Apatah lagi baru sehari dua. Di internet pula tu. Suri dengan panjang lebar menerangkan kepada Fahri, bahawa perkenalan mereka terlalu singkat. Fahri memahami dan tidak pernah membangkitkan isu tersebut selepas itu.

Setiap kali Suri online di YM, pasti Fahri akan meng'buzz'nya. Bertanya khabar itu dan ini. Mulanya, Suri berasa seronok, kerana baginya Fahri mempunyai banyak ilmu untuk dikongsikan. Suri juga tidak segan silu berkongsi ilmu dengan Fahri.

Lama-kelamaan, perkongsian ilmu itu rupanya bertukar kepada borak-borak kosong. Suri menjadi tidak selesa apabila Fahri mula mengeluarkan ayat yang manja-manja dengannya.

'Tidak sedarkah Fahri ini? Dia orang yang dihormati di kampusnya. Kenapa dia boleh jadi begini?' Suri tertanya-tanya.

Suri sedar, semakin dia melayan, semakin menjadi-jadi Fahri. Suri beristighfar. Salahnya juga kerana terlalu melayan kerenah Fahri. Dia tidak mempunyai apa-apa perasaan terhadap Fahri. Apa yang ditakuti, Fahri seperti suka kepada dirinya.

Lalu dia mengambil keputusan offline buat seketika waktu. 'Mungkin Fahri fikir, aku tidak akan online lagi.'

Setelah beberapa minggu, Suri kembali online. Ingin melihat bagaimana reaksi Fahri. Ternyata Fahri tetap seperti itu. Meng'buzz'nya seperti biasa. Suri rimas. Sebelum perkara tersebut melarat, Suri mengambil keputusan untuk permanently offline kepada Fahri.

Bagi Suri, salahnya berpunca dari awal. Kerana gambar profilnya itu membawa kepada pertemuan yang disangka ukhuwah fillah, tetapi ternyata dia silap. Setinggi-tinggi iman seorang lelaki pun, boleh tunduk dek kerana seorang wanita.

Suri tidak menyalahkan Fahri, kerana menganggap Fahri juga seorang lelaki biasa yang mempunyai nafsu terhadap wanita. Suri terfikir, jika orang sebaik Fahri boleh menjadi sedemikian rupa dek gambar-gambar yang bersepah di Facebook, apa pula nasib dengan lelaki-lelaki yang sememangnya kurang amalan agamanya. Lelaki-lelaki yang berpenyakit hati seperti itu, pastinya tidak terduga apakah tindakan mereka kepada wanita-wanita yang mendedahkan gambar sesuka hati di alam maya.

'Fahri, apakah kau melakukan perkara yang sama kepada perempuan lain yang kau kenal?' Suri bermonolog sendirian. Sedih sekali memikirkan iman seorang lelaki berkecai begitu sahaja. Kerana seorang wanita sepertinya. Jika dia tidak melayan Fahri dari awal, pastinya keadaan tidak akan menjadi sebegini rupa.

'Ah, biarlah. Aku mahu kau tahu Fahri. Aku menyanjungimu sebagai seorang mujahid pejuang Islam di kampusmu. Kau bukanlah calang-calang orang. Namun, minatmu terhadapku perlu kau kikis. Hatimu perlu dijagai dan dibajai dengan mujahadah. Ya, mujahadah melawan nafsu sendiri. Lelaki dan perempuan tidak akan pernah boleh menjadi kawan. Kerana lama-kelamaan bunga-bunga cinta yang terlarang itu akan timbul dengan sendirinya. Aku rasa perjalanan untuk pernikahan itu masih panjang. Jadi, tidak perlulah memasang angan-angan dan harapan kepada ku terlalu awal begini. Semua ini hanya menambahkan penyakit hati. Gelap nanti hatimu, Fahri.' rintih Suri.

'Biarlah aku menghilangkan diri. Semoga hatimu lebih terjaga dari perasaan yang bukan-bukan.' rintihnya lagi.

Sejak hari itu, Suri tidak lagi berhubung dengan Fahri. Doanya Fahri sentiasa istiqamah dalam mujahadahnya menegakkan syariat di kampusnya. Bukannya melayan perasaan dengan wanita sepertinya, yang belum halal untuk dimiliki dan dimanjai. Dan sejak insiden itu juga, Suri menghapuskan semua gambar-gambar peribadinya di Facebook. Gambar profilnya hanya diletakkan gambar kartun muslimah. Biarlah, Suri tidak kisah. Asalkan hatinya tenang.






0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...