Rabu, 23 Februari 2011

Kisah Pelajar Antarabangsa Dan Bahasa Melayu

Tajuk entri kali ini mungkin nampak berat. Bagi anda yang rasa kurang berminat, sila-silakan membaca entri lain. Sudah beberapa hari blog ini sepi tanpa entri. Bukan apa, sibuk dengan duniawi. Macam biasa. Blog saya bukanlah blog harian, yang mana macam diari yang selalu orang lain buat. Hari buat apa, pergi mana, jumpa siapa dan macam-macam lagi.

Kali ini, saya nak bercerita mengenai beberapa insiden yang ada kaitan dengan tajuk di atas. Alkisahnya, tengah hari tadi, saya bergurau dengan seorang pelajar master berbangsa India. Teman sepenyelidikan. Beliau sangat ramah, dan saya senang sekali berborak dengan beliau.


"KD, you tengok ni. Senarai tugas yang Dr. dah susun untuk kita." kata Sri sambil membaca satu-persatu tugasan yang telah ditampal di meja komputer bilik siswazah. 

Pada senarai itu juga, terdapat nama seorang pelajar antarabangsa, Rashid, dilahirkan di Somalia tetapi menetap di Libya.

"Hmm. Dr. tulis dalam bahasa Melayu, macamlah dia boleh faham," kata saya sambil ketawa.

Sri ketawa mengekek.

Saya teringat satu perbualan dengan Mr.Rashid tidak lama dulu.

"Mr.Rashid, so how long since the last time you went back to your home country?"
"I never came back since I arrived, here in Malaysia. Almost 4 years," balas Mr.Rashid.

Saya ternganga. Tetapi ia bukanlah sesuatu yang pelik. Saya bersyukur dalam hati kerana masih diberi peluang untuk belajar di dalam negara.

Tetapi yang menghairankan, beliau tidak dapat bercakap bahasa Melayu dengan fasih walaupun sudah berada di Malaysia selama hampir 4 tahun. Hanya beberapa patah perkataan sahaja yang boleh difahami oleh beliau. Senario ini amat berbeza dengan pelajar Malaysia yang bertebaran di luar negara, masing-masing seakan berasimilasi dengan penduduk asal. Dari segi bahasa terutamanya.

Kebanyakkan rakan-rakan saya yang menyambung pelajaran di luar negara mempunyai penguasaan bahasa tempatan (negara yang mereka belajar) yang bagus. Jepun, Korea, Jordan, Mesir dan banyak lagi.

Pelajar antarabangsa di USM pada pandangan saya, bilangan yang fasih berbahasa Melayu adalah sangat kecil. Pernah sekali saya bertemu dengan seorang mahasiswa dari Perancis. Bahasa Melayunya sangat mengagumkan. Tetapi pelatnya seakan bahasa Melayu Indonesia.

Kegagalan berbahasa yang amat ketara adalah kerana beberapa masalah:


  1. Orang negara luar tidak memahami bahasa Melayu Malaysia kerana sebutannya lari dari yang sebenar. Mereka lebih memahami bahasa Melayu Indonesia, kerana bahasa Melayu di sana kurang bercampur dengan bahasa Inggeris. Mungkin boleh cuba berbahasa baku lepas ni?
  2. Orang Malaysia lebih mengagungkan bahasa Inggeris (padahal bercakap dalam Inggeris tidaklah sefasih mana).
  3. Tulisan - terutamanya di internet (seperti FB dan blog). Terlampau banyak singkatan, tambahan yang entah apa-apa. Contohnya - [awk mkn apew hr nie?] [tak skewnyew...!!!] dan macam-macam lagi. Geli saya nak tulis. Rosak! 
  4. Singkatan itu tak salah, asalkan masih boleh di baca dan melambangkan bahasa Melayu yang sebenar.
  5. Tatabahasa - yang ini saya sendiri tak berani nak komen. 
  6. Anda ada apa lagi nak tambah?


Bagi saya, kalau ada kebolehan berbahasa lain tu adalah satu kelebihan. Langsung tak salah, malah ianya ilmu.  Kalau rakyat kita sendiri yang mengutuk bahasa sendiri, siapa lagi yang kita nak harapkan. Jangan sangka negara tak boleh maju kalau pakai bahasa sendiri. Mentaliti yang harus diubah, bukannya bahasa. Bahasa itu medium. Yang penting, bagaimana kita gunakan medium itu sebagai penyalur ilmu dan pembawa arus perubahan.


P/s: masa tulis entri ni, rasa macam menteri dah. haha. apa-apa pun, bahasa jiwa bangsa. :)


0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...