Ahad, 5 Disember 2010

Salam Maal Hijrah 1432 - 1 Muharam 1432 (7 Dis 2010)

Pejam celik, pejam celik, rupa-rupanya sudah sampai ke penghujung tahun. Ya, sudah Disember bukan? Itulah yang barangkali bersarang dalam benak kalian yang membaca. Bukan anda sahaja, malah saya juga. Terleka dengan hal-hal duniawi, sehingga terlupa masa sudah menginjak masuk ke tahun baru Islam, 1 Muharam 1432H yang jatuh pada 7 Disember 2010 beberapa hari lagi.

Seringkali tarikh-tarikh dalam bulan Islam kita lupakan. Saya juga. Dunia hari ini yang dikuasai oleh kuasa-kuasa Barat lebih senang menggunapakai kalendar Masihi berbanding kalendar Islam.

Anda tahu tarikh lahir anda dalam bulan Islam?

Jika belum tahu, boleh singgah sebentar di web ini  http://www.islam.com/islamicdates.asp untuk menyemak hari lahir anda di dalam bulan Islam.

Alhamdulillah, saya dilahirkan pada hari Jumaat yang barakah, tepat pada pukul 5.55 pagi (kebetulan tengah azan subuh, kata mama saya) pada 27 Syaaban 1408H. Hanya tinggal beberapa hari lagi umat Islam seluruh dunia akan menunaikan ibadah puasa, ketika itulah saya dilahirkan ke dunia. Terima kasih kepada mama yang bersusah payah terpaksa mengganti puasa Ramadhan selama sebulan kerana melahirkan anakmu ini.



Jadi, sudah hampir ke tahun baru. Mulai hari ini, marilah sama-sama tetapkan azam bermula dengan kalendar Hijrah, bukannya kalendar Masihi.

Sekadar ingatan semula, kalendar Hijrah bermula apabila Rasulullah S.A.W. berhijrah dari Kota Suci Mekah ke Madinah Al-Munawwarah pada tahun 622 masihi. Penghijrahan baginda ini merupakan titik tolak perjuangan dan pengorbanan umat Islam, yang memberi impak yang besar dalam sejarah Islam.

Sempena tahun baru ini, mari kita sama-sama berhijrah ke arah hidup yang lebih diberkati Allah. Sama ada dari yang bujang berhijrah kepada perkahwinan, dari yang free-hair kepada bertudung, dari yang tinggal solat kepada solat penuh 5 waktu dan sebagainya.

Di sini saya ingin berkongsi doa yang dibaca ketika masuk tahun baru dan doa akhir tahun (dipetik dari http://syedas.wordpress.com/2007/01/19/doa-awal-tahun-akhir-tahun-hijriah/):



Doa Akhir Tahun dibaca 3 kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib  pada akhir bulan Zulhijjah.






Sesiapa yang membaca doa ini, Syaitan berkata:


“Kesusahan bagiku dan sia-sia lah pekerjaanku menggoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan

aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa ini, Allah ampunkan dosanya setahun”

Berikut adalah Doa Akhir Tahun



Maksudnya:
Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.
Wahai Tuhan, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya. Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat selepas keberanianku melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya aku memohon keampunanMu, maka ampunilah aku. Dan tidaklah aku melakukan yang demikian daripada apa yang Engkau redhainya dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepadaMu.
Wahai Tuhan! Wahai yang Maha Pemurah! Wahai Yang Maha Agung dan wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima taubat itu dariku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepadaMu Wahai Yang Maha Pemurah. Dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad, ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan mengurniakan kesejahteraan ke atas mereka.

Barangsiapa yang membaca doa akhir tahun ini, maka syaitan akan berkata:
“Hampalah kami di sepanjang tahun ini”.


Doa Awal Tahun dibaca 3 kali selepas maghrib pada malam satu Muharram. Sesiapa yang membaca doa ini, Syaitan berkata:

“Telah amanlah anak Adam ini daripada godaan pada tahun ini kerana Allah telah mewakilkan
dua Malaikat memeliharanya daripada fitnah Syaitan”.

Berikut adalah Doa Awal Tahun





Maksudnya:
Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.
Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. yang awal dan ke atas kelebihanMu yang besar dan kemurahanMu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dariMu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepadaMu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia.
Wahai Tuhan Yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka.


P/s: Selamat beramal :)



0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...